My Add

Wednesday 18 June 2014

Inmarsat: Lokasi pencarian MH370 tidak tepat

LONDON, SELASA 17 Jun, 2014: Syarikat satelit komunikasi Britain, Inmarsat mendedahkan bahawa lokasi pencarian pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) di Lautan Hindi diketuai Australia adalah tidak tepat berbanding lokasi sebenar yang disarankan oleh saintis firma itu.

Menurut laporan stesen rangkaian televisyen BBC yang memetik kenyataan pakar satelit Inmarsat, Chris Ashton sebagai berkata, kapal Australia, Ocean Sheild yang mengetuai misi pencarian tidak mencari di lokasi tepat di Lautan Hindi kerana perhatian mereka tertumpu untuk mengesan isyarat sonar yang dipercayai datang dari alat perakam penerbangan pesawat MH370 di kawasan lain.

Ashton berkata, data komunikasi Inmarsat dan pesawat berkenaan yang dianalisis saintis firma tersebut dilihat sebagai petunjuk terbaik bagi mengesan lokasi tepat kapal terbang yang membawa 239 penumpang itu yang hilang pada 8 Mac lalu, tetapi Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC) masih belum meneroka ke kawasan terbabit yang ditanda sebagai 'lokasi panas'.

Jelasnya, pasukan mencari terlalu memberi tumpuan untuk menyiasat bunyi 'ping' sepanjang tempoh dua bulan pencarian di kawasan seluas 850 kilometer persegi di dasar laut dekat barat laut Perth menggunakan robot penyelam tetapi masih menemukan kebuntuan.

"Misi pencarian yang dijalankan JACC adalah jauh ke arah timur laut berbanding lokasi yang kami yakin kawasan sebenar pesawat MH370 itu hilang.

"Kami boleh mengenal pasti laluan pesawat dengan tepat menerusi pengiraan frekuensi dan masa serta lokasi terakhir penerbangan di kawasan tertentu iaitu di selatan Lautan Hindi," katanya.

Misi pencarian MH370 ditangguhkan buat masa ini kerana kerja-kerja pemetaan dasar laut di Lautan Hindi sedang dijalankan.

Sebaik-baik misi pencarian disambung, pasukan mencari akan memberi tumpuan di lokasi panas mengikut maklumat yang diberikan oleh pakar satelit Inmarsat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment