My Add

Friday 20 June 2014

Pelancong Malaysia kembali kunjungi selatan Thailand

SADAO (Selatan Thailand),  JUMAAT 20 Jun, 2014: Walaupun pentadbiran di Thailand kini berada di bawah pemerintahan tentera, namun aktiviti harian di lokasi tumpuan pelancong di selatan Thailand seperti Sadao, Songkhla dan Hat Yai didapati berjalan seperti biasa.

Ketua Pegawai Daerah Sadao, Chamlong Kraidith berkata walaupun berada di bawah pemerintahan tentera, ia tidak bermakna daerah-daerah berkenaan dipenuhi anggota pasukan keselamatan sehingga menyebabkan aktiviti harian rakyat terganggu.

"Seperti saya di Pejabat Daerah ini, kami bekerja seperti biasa walaupun tentera ambil alih pemerintahan. Pelancong boleh datang seperti biasa dan tidak perlu risau," katanya.

Semalam beliau membawa sekumpulan wartawan dan jurugambar dari Kedah untuk melawat lokasi tumpuan pelancong di Sadao, Songkhla dan Hat Yai.

Beliau berkata Thailand menerima kira-kira 4,000 hingga 5,000 pelancong dari luar setiap hari melalui pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand.

Chamlong berkata walaupun jumlah pelancong menurun hingga kepada 3,000 orang sehari sepanjang 15 hari tempoh darurat baru-baru ini, namun kini bilangannya kembali seperti biasa.

Pada Rabu, Kementerian Luar menasihati rakyat Malaysia di Thailand supaya mengelak daripada berada di lokasi perhimpunan bantahan yang mungkin diadakan penduduk tempatan dan mereka perlu berwaspada setiap masa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment