My Add

Sunday 8 June 2014

Pengebumian tiga beranak pilu

Oleh TOREK SULONG

  * PENGEBUMIAN jenazah mangsa kemalangan maut di Tanah Merah membabitkan tiga beranak di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Siam, Pasir Puteh, Kelantan, semalam. - MINGGUAN/Torek Sulong.
PASIR PUTEH, SABTU 07 Jun, 2014: Majlis pengebumian jenazah Yuzairie Mohd. Yusof, 30, serta isterinya, Hafiza Ab. Halim, 32, yang hamil tujuh bulan bersama anak bongsu mereka, Yus Ammar Zafril, 10, setelah terbabit dalam kemalangan di Tanah Merah, semalam, diselubungi suasana pilu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Siam dekat sini hari ini.

Kira-kira 100 sanak-saudara terdekat yang menghadiri majlis berkenaan gagal mengawal perasaan sedih mereka apabila melihat jenazah dikebumikan satu per satu.

Allahyarham Hafiza dikebumikan dalam satu liang lahad bersama anaknya manakala suaminya dalam liang lahad yang berdekatan pada pukul 11.20 pagi.

Hasrat ahli keluarga itu untuk mengebumikan ketiga-tiga jenazah petang semalam terpaksa ditunda hari ini kerana keadaan tanah perkuburan yang berair dan mudah runtuh.

Jenazah ketiga-tiga anak beranak berkenaan tiba di rumah ibu Yuzairie di Kampung Gelam dekat sini, kira-kira pukul 4 pagi tadi.

Sementara itu, ibu saudara Yuzairie, Rogayah Makhtar, 55, yang turut tercedera dalam kemalangan tersebut dibenarkan keluarkan dari Hospital Tanah Merah.

Bagaimanapun, dua anak pasangan tersebut, Yus Izham Hakimi, 9; dan Yus Azmira Najwa, 6; dirujuk ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh hari ini bagi rawatan dan pemeriksaan susulan.

Sementara itu, Rogayah ketika ditemui di sini berkata, sukar baginya mengingati semula detik kejadian yang mengerikan tersebut kerana ia berlaku secara tiba-tiba dan pantas.

"Saya berada di tempat duduk belakang dan tiba-tiba terkejut apabila terdengar bunyi rempuhan.

"Walaupun tidak pengsan tetapi saya hanya mengetahui kematian tiga beranak itu selepas beberapa jam dirawat di Hospital Tanah Merah. Saya bersyukur kerana selamat bersama dua lagi anak arwah.

"Peristiwa ini pasti tidak akan dilupakan kerana telah menyebabkan anggota keluarga yang tersayang meninggalkan kami buat selamanya termasuk dua anak mereka yang kini yatim piatu," katanya.

Bapa Yuzairie, Mohd. Yusof Makhtar, 53, berkata, dia akan memelihara kedua-dua cucunya yang terselamat dalam kejadian itu kerana mereka lebih rapat dan manja dengan neneknya, Zuraida Abdullah, 50.

Tambahnya, kedua-dua cucunya itu masih belum mampu menerima kenyataan sebenar kehilangan kedua-dua ibu bapa mereka kerana Yuzairie dan isterinya adalah ibu bapa yang penyayang dan sentiasa mengambil berat tentang anak-anak mereka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment