My Add

Tuesday, 17 June 2014


PKR mesti jelaskan tuduhan politik wang - Chegu Bard



Badrul Hisham
KUALA LUMPUR, ISNIN 16 Jun, 2014: Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa segera tampil memberi penjelasan berhubung amalan politik wang yang didakwa berlaku dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Ahli PKR Cabang Rembau yang digantung keahliannya, Badrul Hisham Shahrin berkata, penjelasan ini kerana desas-desus berhubung tindakan Ahli JPP parti, Abdul Malek Hussin `membaling' sejumlah wang kepada seorang pemimpin PKR mula tersebar di internet sejak dua minggu lalu.

Walau bagaimanapun beliau memberitahu, sehingga kini, ahli PKR dan penyokong parti masih tertanya-tanya sama ada kejadian tersebut benar-benar berlaku atau sebaliknya.

"Kenapa susah sangat untuk muncul dengan penjelasan tersebut sehingga membiarkan ahli dan penyokong termangu-mangu diasak dengan persoalan dan ejekan," katanya dalam kenyataan menerusi laman blognya di http://chegubard.blogspot.com hari ini.

Pada 12 Jun lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas dari PKR, Dr. Xavier Jayakumar menegaskan, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berita propembangkang, Malaysiakini kerana didakwa menyiarkan laporan berunsur fitnah terhadap beliau.

Selain Malaysiakini, Xavier turut mengemukakan notis tuntutan maaf kepada Badrul Hisham dan akhbar Tamil Malar berhubung penyiaran artikel yang menuduh beliau terlibat dalam kegiatan rasuah bersama Abdul Malek.

Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai `Chegu Bard' meminta Lembaga Disiplin PKR menyiasat dakwaan tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya jika ia didapati benar.

Beliau menambah, Xavier sepatutnya menjawab serta memberi penjelasan dan bukannya bertindak sombong serta angkuh dengan mengugut untuk memfailkan saman.

"Untuk muncul mendesak segera bertindak membetulkan persepsi salah setelah begitu lembab menghadapi isu sebesar ini maka saya akan disaman, saya sedia," ujarnya.

Badrul Hisham turut menyatakan kehairanannya apabila Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mencabar beliau membuktikan dakwaan pembabitannya dalam memberi rasuah kepada ahli JPP parti.

"Saya meminta Azmin merujuk surat saya dan fahami, isu telah muncul dari pelbagai sumber dan pelbagai versi tanpa ada pihak menjelaskan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment