My Add

Saturday 7 June 2014

PM sembah tahniah kepada Agong, tekad kerajaan berakauntabiliti

KUALA LUMPUR, SABTU 07 Jun, 2014: Berikut teks ucapan sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong dan istiadat penganugerahan darjah kebesaran Persekutuan di Istana Negara di sini pagi ini:

Bismillahhirrahmanirrahim.

Alhamdulillahi Rabbil A'lamin, Wabihi Nastain,

Selawat dan Salam ke atas Rasul junjungan, Nabi Muhammad SAW serta sahabat-sahabat Baginda Sekalian, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Ampun Tuanku,

1. Menghadap, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Almu'tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah. Menghadap, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Ampun Tuanku Beribu-ribu Ampun,

2. Dalam majlis di suasana pagi yang indah dan damai ini, dengan segala takzimnya, patik mewakili pihak Kerajaan, anggota keselamatan, penjawat awam serta sekalian rakyat Malaysia, mengangkat setinggi-tinggi sembah tahniah sempena Ulang tahun Keputeraan Rasmi yang Ke-3, dalam penggal pemerintahan Tuanku selaku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-14.

3. Pagi ini, 7 haribulan Jun tahun 2014 Masehi, jatuhnya bersamaan 9 Syaaban 1435 Hijriah, hari yang mulia penuh saadah, patik sekalian melafazkan doa yang ikhlas dan kudus, semoga Tuanku bersama Raja Permaisuri Agong terus peroleh keafiatan, di puncak negara, dengan penuh kedaulatan dan kebesarannya.

4. Benarlah seperti dicatat dan dikalamkan oleh para cendekiawan antaranya ulama terkenal Imam Al-Ghazali dalam karangan beliau bertajuk, Nasihat Al-Muluk bahawa Raja-Raja itu persis Bintang Berkerlipan dan Rendangnya Pohon Tempat Bernaung.

Bak kata pantun Melayu:

Burung nuri terbang ke lembah,

Hinggap megah di tengah kota,

1Malaysia merafak sembah,

Daulat Tuanku Payung Mahkota.

Ampun Tuanku,

5. Pada kesempatan ini, patik bagi pihak rakyat jelata, ingin merakamkan takziah dan rasa dukacita yang amat sangat, khususnya kepada kerabat-kerabat di Raja, di atas kemangkatan Yang Teramat Mulia Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah, Pengerusi Jemaah Pemangkuan Sultan Negeri Kedah pada 21 haribulan Mei, bersamaan 21 haribulan Rejab yang lalu. Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas roh Almarhum.

6. Demikian juga, sekalian rakyat menzahirkan rasa takziah dan kesedihan yang sungguh mendalam di atas kemangkatan Paduka Seri Sultan Azlan Muhibuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izuddin Shah Ghafarullahu-lah pada 28 haribulan Mei, bersamaan 28 haribulan Rejab yang lepas. Baginda merupakan Yang di-Pertuan Agong kesembilan. Marilah kita sama-sama mendoakan supaya Almarhum ditempatkan dalam kalangan para solihin dan orang-orang beriman.

7. Kepada kedua-keduanya, kita bertafakur sejenak dan sedekahkan ummul kitab, Al-Fatihah....

Ampun Tuanku,

8. Sungguhlah sejarah itu peristiwa masa lalu. Benarlah sejarah itu kejadian waktu lampau. Namun, kita perlu sentiasa beringat dan berkenang-kenang akan hakikat, tiada sesuatu hal yang terjadi dengan sendirinya daripada kelompongan.

9. Semestinya, satu-satu perkara wujud, dibina, dibentuk dan dicipta berpasak kepada falsafah-falsafah, prinsip-prinsip, hukum-hukum dan ketetapan-ketetapan sebagai tunjang. Itulah resam dunia. Itulah adat dan kejadian satu-satu tamadun dan itulah resminya perjalanan sesebuah organisasi serta watannya.

10. Ehwalnya, jika tidak, adalah mustahil bagi tamadun yang berusia ratusan atau ribuan tahun, juga kestabilan sesebuah pertubuhan mahupun negara bangsa dapat terus dipertahankan.

11. Di Malaysia, sesungguhnya Institusi Raja, Demokrasi dan ketertinggian Perlembagaan Bertulis adalah warisan bapa-bapa pengasas negara kepada kita generasi hari ini. Ia sebenarnya adalah pilihan yang amat tepat bagi sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

12. Dalam konteks ini, institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai kepala utama negara adalah amat unik. Sekalipun institusi ini merupakan satu ciptaan Perlembagaan Persekutuan yang telah dilakarkan segala tugas serta tanggungjawab berkaitan. Ia sebenarnya diasas kukuh kepada faktor-faktor sejarah, tradisi juga budaya.

13. Merujuk khusus kepada Tuanku, semenjak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 13 Disember 2011, telah terciptalah sejarah yang sangat bitara kepada tanah air ini pabila seorang Sultan dinobatkan bagi kali keduanya sebagai Ketua Negara di peringkat persekutuan.

14. Pada kali pertama, sewaktu Allahyarham Ayahanda patik menjadi Perdana Menteri dan kini takdir menetapkan di kala patik pula mengetuai pentadbiran Kerajaan. Ternyatalah, setiap sesuatu yang berlaku itu adalah atas iradat yang Maha Berkehendak jua.

15. Tawarikh dunia juga sedang meriwayatkan bahawa Tuanku sebagai seorang Raja Melayu Islam paling lama masih bertakhta, dengan bersalah-silahkan nasab yang bersinambung hampir seribu tahun lampau.

16. Berdasarkan yang demikian, pastinya Tuanku adalah seorang Raja yang sangat berpengalaman kerana telah melihat sendiri dan melalui sekian banyak testimoni yang mengabsahkan pencapaian serta kejayaan Malaysia.

17. Tidak dilupakan juga penyaksian Tuanku kepada episod-episod cemas dan detik-detik getir negara berhadapan dengan antaranya, peristiwa darurat, ancaman komunis dan tragedi hitam 13 Mei 1969, yang hampir mencalarkan sulaman fabrik tanah air.

18. Malah, Tuanku juga berkelebihan dengan berada pada semua zaman Perdana Menteri-Perdana Menteri yang lalu sehinggalah ke tempoh ini.

Ampun Tuanku,

19. Nyatanya, pendahulu-pendahulu patik iaitu mantan 5 Perdana Menteri telah berjaya meletakkan asas-asas kukuh kepada Malaysia dengan segala perancangan dan pendekatan pada tempoh pentadbiran masing-masing.

20. Sememangnya, bukanlah satu tugas yang mudah untuk menggalas dan memikul tanggungjawab bagi meneruskan agenda kejayaan yang telah ditempa sebelum ini.

21. Sebagai tali-temali, sejak tahun 2009 apabila patik mengambil alih tampuk pemerintahan dan pentadbiran, dengan tidak berlengah-lengah lagi, Kerajaan terus merangka serta merancang langkah-langkah wajar yang penuh berstrategi dalam mentransformasi negara dengan berpandukan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Ampun Tuanku,

22. Lebih kurang dua bulan lagi, kita akan menyambut ulang tahun ke-57 kemerdekaan negara. Malaysia hari ini bukanlah seperti yang sudah-sudah.



23. Dari sudut demografi, bermula dari Arau, Perlis sehingga ke Semporna, Sabah dan Ulu Lachau di Sarawak, warganegara Malaysia berbanding pada tahun 1970, hanyalah berjumlah sekitar 11 juta. Diunjurkan penduduk negara menjelang tahun 2020 kelak akan meningkat kepada 30 juta.

24. Sememangnya, Malaysia bertuah kerana terus aman dan harmoni. Uniknya kita atas faktor kemajmukan rakyat dari pelbagai bangsa dan keturunan. Walaupun kita berlainan agama, berbeza pendapat dan berbudaya tersendiri, semuanya itu telah diraikan sebagai aset dan ramuan dalam memacu kemajuan serta kemakmuran sejak dahulu.

25. Pokoknya, demi perpaduan, kestabilan dan kepentingan ramai, kita bersatu dan berpadu sebagai rakyat Malaysia di bawah satu bendera seraya menolak sebarang bentuk kemelampauan yang mampu memecah-belahkan kesatuan sedia terjalin.

26. Bahkan, sebarang usaha Kerajaan akan terus memustahakkan pendekatan pembangunan secara inklusif sama ada di bandar mahupun luar bandar, berasaskan prinsip pertumbuhan dengan kesaksamaan atau 'growth with equity', bagi membolehkan semua masyarakat di Malaysia mendapat manfaat daripada pembangunan ekonomi dan kekayaan Negara.

Ampun Tuanku,

27. Hakikatnya lagi, kita berhadapan dengan cabaran dunia tanpa sempadan, dengan kemunculan teknologi tinggi dan terkini, ledakan ilmu maklumat di hujung jari, serta kelahiran media-media baharu, tantangan kreativiti dan inovasi.

28. Selain itu, generasi masa kini yang semakin pintar, mempunyai cita rasa mereka tersendiri dan kritis dalam pemikiran.

29. Menyentuh generasi Muda sebagai zuriat pewaris negara, Kerajaan Tuanku amat menekankan hala tuju pendidikan. Melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, akan meruangkan akses pendidikan yang meluas dan sejagat kepada kanak-kanak dari peringkat prasekolah sehinggalah peringkat menengah atas.

Ampun Tuanku,

30. Secara sedar ataupun tidak, sebulan telah pun terlalu, menandakan genapnya setahun mandat rasmi yang diterima oleh Kerajaan Tuanku melalui Pilihan Raya Umum Ke-13. Dalam tempoh beberapa tahun sejak 2009, di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional atau DTN, negara ini menyaksikan pelbagai detik manis dan pencapaian yang membanggakan.

31. Baru-baru ini, patik telah membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan atau GTP dan Program Transformasi Ekonomi atau ETP. Jika GTP 1.0 direka khusus untuk mentransformasikan sistem dengan memperkenalkan langkah-langkah baharu, demi meningkatkan kualiti perkhidmatan awam, GTP 2.0 pula mensasarkan untuk penerapan aktiviti urusan kerja luar biasa ke dalam amalan urusan kerja biasa.

32. Makanya, dengan segala suka dan sukacitanya, patik menyembah maklum, berdasarkan pengesahan pencapaian oleh para pakar termasuk pihak berkecuali, GTP telah berjaya mencapai kejayaan 104 peratus daripada sasaran keseluruhan kita pada tahun 2013.

33. Sebagai makluman Tuanku, agenda besar transformasi negara, telah dimulai dengan GTP, ETP, Program Transformasi Politik atau PTP, Program Transformasi Komuniti atau CTP, Program Transformasi Sosial atau STP dan Program Transformasi Fiskal atau FTP.

34. Kesemuanya ini telah dirangka, disusun dan dipermudahkan dalam komponen-komponen yang patik sebutkan sebentar tadi, supaya dapat digembleng oleh semua pihak dengan lebih terancang dan berstrategi.

Ampun Tuanku,

35. Malaysia mencatat rekod baru bagi jumlah pelaburan langsung asing yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia atau MIDA sebanyak 216.5 bilion ringgit pada tahun 2013. Terbukti, ini satu pencapaian yang memberangsangkan meskipun dalam persekitaran luaran yang mencabar. Berasaskan kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mantap, dengan izin Tuhan, kadar inflasi kekal berada tahap rendah iaitu sebanyak 3.5 peratus dan kadar pengangguran pula hanyalah sekitar 3.1 peratus.

36. Molek juga dimaklumkan bahawa, projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), yang mula beroperasi pada 2 Mei, mampu menampung 45 juta penumpang setahun.

37. Manakala Mass Rapid Transit atau MRT sebagai satu Projek Penggerak Ekonomi di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara, mensasarkan 50 peratus penggunaan pengangkutan awam di Greater Kuala Lumpur Lembah Klang akan dicapai.

38. Kerajaan Tuanku juga melalui Program Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak atau SCORE dan Koridor Pembangunan Sabah atau SDC akan mempergiatkan ikhtiar pembangunan demi kesejahteraan terus dinikmati oleh rakyat di Sabah dan Sarawak.

39. Dalam sektor pelancongan, tahun ini adalah Tahun Melawat Malaysia. Setakat Mac 2014, kita telah berjaya menarik 7.1 juta pelancong, berbanding 6.4 juta bagi tempoh yang sama pada tahun lalu. Ini merupakan peningkatan sebanyak 10 peratus bagi jangka masa tersebut.

40. Berkait dengan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST, bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan yang akan dilaksanakan bermula April tahun depan pula, Kerajaan Tuanku mengambil maklum perkembangan dan mendengar pandangan balas pelbagai pihak dan rakyat.

41. Kini, Kerajaan sedang mengambil langkah mempergiatkan usaha-usaha penerangan bagi memberi kefahaman yang betul kepada semua pihak. Pucuk pangkalnya, sistem cukai kepenggunaan yang sangat progresif lagi sistematik dan telah diguna pakai di lebih dua pertiga negara-negara di dunia ini, bertujuan untuk memperteguh ketahanan ekonomi Negara bagi jangka masa panjang.

Ampun Tuanku,

42. Secara keseluruhannya, kita bersyukur sekalipun realitinya kita berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia, Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK negara pada tahun 2013 tumbuh pada kadar 4.7 peratus. Seterusnya, pada suku pertama tahun ini meningkat 6.2 peratus.

43. Berhubung pendapatan per kapita, ia telah meningkat sebanyak 37 peratus dalam tempoh 6 tahun, di mana pada tahun ini, dijangka mencecah 34,126 ringgit berbanding 24,879 ringgit pada tahun 2009. Terkini pula, kita berjaya menduduki tangga ke-12 sebagai negara paling berdaya saing di dunia, berbanding tempat ke-15 pada tahun lepas.

Ampun Tuanku,

44. Walau apapun rintangan menduga, Kerajaan Tuanku akan terus berusaha gigih dan berkomited menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam progresif yang makmur lagi dinamik, berteraskan Maqasid Syariah dengan pendekatan kesederhanaan atau wasatiyyah.

45. Di peringkat serantau, kita pada satu sudut diberi penghormatan dalam memainkan peranan selaku negara pengantara bagi Perjanjian Damai Bangsamoro di antara Barisan Pembebasan Islam Moro atau MILF dengan Kerajaan Filipina, yang telah ditandatangan pada 27 Mac 2014, untuk menamatkan konflik berdarah selama berdekad-dekad.

46. Pada tahun hadapan pula, Malaysia akan berperanan lebih aktif di sebelah Asia Tenggara ini, apabila kita mempengerusikan ASEAN.

47. Semasa kunjungan rasmi Presiden Amerika Syarikat tempoh hari, kita berasa berbangga kerana dapat mempamerkan sebuah kontemporari Malaysia yang maju dan berwarna-warni. Barrack Obama berasa teruja dan banyak memuji Malaysia antaranya, beliau melihat kita sebagai sebuah Negara Islam moden yang progresif. Turut dinyatakan, betapa pesat dan berdramatiknya Malaysia telah membangun dalam arus transformasi.

48. Di peringkat global juga, Alhamdulillah, lawatan rasmi ke negara Tiongkok bagi meraikan 40 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China yang telah terbina adalah satu kunjungan yang berjaya.

49. Perdana Menteri China Li Keqiang, telah menyebut bahawa hubungan Kuala Lumpur-Beijing adalah istimewa dan akan sentiasa diberi keutamaan. Malah, hubungan antara Malaysia-China sedang diangkat sebagai satu Perkongsian Strategik yang Komprehensif.

50. Sebagai makluman, jumlah perdagangan Malaysia-China yang di kadar 200 juta dolar pada tahun 1974, telah meningkat sehingga mencecah lebih 106 bilion dolar pada tahun 2013. Ia menjadikan Malaysia sebagai destinasi penting dan rakan perdagangan terbesar China di rantau ASEAN.

Ampun Tuanku,

51. Sememangnya pun, kejayaan kita selama puluhan tahun ini bukannya datang melayang-layang. Tidak juga tiba bergolek-golek antara kemilau senja dan terbitnya mentari pagi. Jika ia tidak dijaga, segalanya akan pergi sepantas kilat.

52. Sebab itulah, Kerajaan Tuanku tidak akan sesekali membiarkan negara yang dibina dengan keringat dan jerih payah ini daripada dirosakkan oleh badai kepunahan, angkara mereka yang tidak bertanggungjawab.

53. Lantaran demikian, dalam mengepalai pentadbiran Kerajaan, patik bersama-sama Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dan rakan-rakan kepimpinan akan terus memikul tanggungjawab sebagai Kerajaan yang beramanah dan berakauntabiliti.

54. Dari semasa ke semasa pula, Insya-Allah kita akan memastikan supaya pentadbiran dan jentera Kerajaan berurusan secara muafakat, ganding-berganding, saling bahu membahu dan bukannya bekerja dalam 'silo' atau lohong masing-masing. Barulah dapat melayakkan negara ini kekal bertransformasi menuju gapura kemakmuran.

Ampun Tuanku,

55. Disimpulkan kata, sekali lagi patik mewakili pihak pentadbiran dan rakyat, menzahirkan rasa bangga dan betapa beruntungnya dinaungi oleh Tuanku. Semestinya Raja dan rakyat akrab di mata, sehati di jiwa, menjadi lambang kemegahan sebuah nusa.

56. Khulasah kalam, Ya Ilahi Rabbi, kabulkan dan mustaidkanlah segala pinta hambamu. Mudah-mudahan Malaysia dipagar daripada mara bahaya, dibalut barakah, diberi tenteram dan dianugerah rezeki yang berpanjangan.

57. Semoga Allah Mengurnia kesihatan dan Melanjutkan usia Tuanku serta Raja Permaisuri Agong, bersemayam di takhta persekutuan dengan setinggi kemuliaan.

Ampun Tuanku Seri Paduka,

Sembah Takzim menjunjung tinggi,

Semoga karar di atas takhta,

Doa rakyat setulus hati.

Ampun Tuanku,

Sekian sahaja ucapan patik. Wabillahi Taufik Walhidayah,

Wassalamualaikum

Warahmatullahi Wabarakatuh.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment