My Add

Sunday 15 June 2014

Tepati janji di Teluk Intan

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR dan SAYED HESHAM IDRIS

 * NAJIB Tun Razak diiringi Zambry Abd. Kadir bersalaman dengan orang ramai dalam Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan Pelancaran Perumahan 1Malaysia (PR1MA) di Menara Condong Teluk Intan, Perak, semalam. - MINGGUAN/HANAFI KHAMIS
TELUK INTAN, SABTU, 14 Jun, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan beberapa inisiatif bagi pembangunan Teluk Intan termasuk pembinaan 5,000 unit rumah di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) serta penubuhan cawangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai memenuhi manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen itu baru-baru ini.

Sebagai memenuhi janji tersebut, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi projek pembangunan di kawasan berkenaan.

“BN adalah sebuah parti yang berpegang kepada falsafah dan prinsip menepati janji dan membawa harapan kepada penduduk kawasan ini," katanya berucap pada Majlis Bersama Rakyat dan pelancaran PR1MA Teluk Intan di sini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong serta Pengerusi Perbadanan PR1MA, Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Mutalib Alias.

Bagi projek PR1MA, Najib berkata, sebagai permulaan, sebanyak 1,000 unit rumah akan dibina di kawasan itu yang keseluruhannya melibatkan kawasan seluas 202 hektar melibatkan dua bidang tanah milik kerajaan negeri dan sebidang tanah milik Koperasi Pegawai-pegawai Melayu Malaysia Berhad (Moccis) yang dijangka dijual pada harga tidak melebihi RM150,00 seunit dan siap dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Bagi penubuhan cawangan UPSI pula, Najib berkata, kampus berkenaan akan menempatkan 1,000 guru yang akan dilatih dalam bidang vokasional dan teknikal.

Menurutnya, pembinaan cawangan kampus itu akan siap dalam tempoh tiga ke empat tahun lagi dan Teluk Intan akan mendapat kesan yang begitu baik dengan pembinaannya.

Selain peruntukan RM5 juta itu, beliau berkata, sebagai bakal menteri, Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong akan turut menerima peruntukan khas yang dapat digunakan untuk kepentingan penduduk kawasan itu.

“Banyak keperluan yang diluahkan oleh pemimpin dan pengundi sewaktu PRK lalu seperti permohonan masjid, surau serta sumbangan untuk sekolah-sekolah. Jadi, kita kumpulkan semua permintaan ini dan saya luluskan peruntukan khas RM5 juta untuk diagihkan-agihkan," katanya.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada pengundi Teluk Intan kerana menyokong BN sehingga membawa kepada kemenangan Siew Keong pada pilihan raya kecil itu, 31 Mei lepas selepas menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud dengan majoriti 238 undi.

“Saya tak senang duduk kalau tak turun hari ini berjumpa rakyat Teluk Intan kerana saya mahukan kemenangan ini bukan sahaja dalam erti kata rakyat telah memangkah BN, tetapi hendak kemenangan ini dekat di hati setiap pengundi.

“Saya juga datang sebab hendak pastikan janji-janji BN ditunaikan, janji-janji kita ditepati dan mahu membawa perubahan baharu di kawasan ini," katanya.

Beliau berkata, kemenangan itu membuktikan pengundi yakin BN adalah parti yang menepati janji dan membawa harapan baharu kepada penduduk kawasan itu.

“Kita menang kerana kebolehpercayaan rakyat terhadap BN meningkat. Ramai yang berasakan bahawa jika BN diberi peluang akan berlaku perubahan persekitaran dari segi pembangunan sosio-ekonomi di kawasan itu," katanya.

Najib seterusnya meminta rakyat supaya menolak dakyah pihak pembangkang yang sentiasa memburukkan kerajaan dan tidak pernah menyokong apa jua dasar yang dilaksanakan untuk membantu rakyat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment