My Add

Tuesday 24 June 2014

Pegawai daerah perlu lebih kreatif, terbuka

 * NAJIB Tun Razak bersalaman dengan para pegawai daerah ketika hadir merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah 2014 di PICC, Putrajaya, semalam. Turut sama Mohd Shafie Apdal, Alexander Nanta Linggi (belakang, dua dari kiri), Tan Sri Dr. Ali Hamsa (tengah) dan Ibrahim Muhamad (belakang, kiri). - BERNAMA
PUTRAJAYA, ISNIN 23 Jun, 2014: Para pegawai daerah perlu mengamalkan pendekatan lebih kreatif dan terbuka untuk menyelesaikan masalah rak-yat di peringkat akar umbi.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pendekatan tersebut merupakan strategi yang perlu digunakan untuk mendekati rakyat khususnya di luar bandar melalui penglibatan pentadbiran daerah dan seluruh jentera kerajaan.

Menurutnya, transformasi kepimpinan yang perlu ditonjolkan oleh pegawai daerah itu secara tidak langsung dapat memberi ruang kepada rakyat menilai kesungguhan kerajaan untuk memenuhi aspirasi kesejahteraan hidup mereka.

"Pegawai daerah bukan sahaja menjadi pemimpin yang hanya mentadbir daerah dan berada di pejabat sahaja, sebaliknya perlu turun ke bawah untuk mendengar denyut nadi rakyat.

"Rakyat bukan hanya mahu diberikan tumpuan dari sudut pembangunan sahaja, bahkan dalam beberapa masalah sensitif seperti isu tanah adat yang memerlukan perhatian pihak kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Majlis perasmian persidangan selama sehari itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohd Shafie menegaskan, pegawai daerah merupakan orang yang terpenting di peringkat daerah untuk menyalurkan maklumat kepada kepimpinan pentadbiran di peringkat negeri.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pegawai daerah bahawa mereka perlu menyalurkan maklumat secara tepat dan seimbang bagi memastikan kepimpinan negeri dapat mengetahui masalah rakyat.

"Dalam hal ini, pegawai daerah perlu berkhidmat kepada rakyat tanpa mengambil kira ideologi politik seseorang. Ini kerana ada sesetengah kawasan pembangkang masih berada dalam keadaan daif.

"Masih ada rakyat yang memerlukan kemudahan asas, pembelaan serta bantuan daripada kerajaan," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap kerjasama dan komitmen yang berterusan daripada pihak pentadbiran negeri dan daerah dapat diberikan kepada pihak kementerian.

Beliau berkata, kementerian itu ditubuhkan pada 1959 dalam tempoh Rancangan Lima Tahun Malaya Pertama (1956-1960) untuk membasmi kemiskinan luar bandar.

"Isu kemiskinan negara dapat diturunkan dari 60 peratus pada awal kemerdekaan kepada 1.7 peratus tahun ini. Untuk kemiskinan luar bandar pula, kadarnya dapat dikurangkan kepada 3.4 peratus pada tahun ini berbanding 58.6 peratus pada 1970," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, persidangan kali kelapan tersebut melibatkan semua pegawai daerah, residen Sarawak, wakil dari Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) , Pejabat Pembangunan Negeri, pengurus besar, ketua jabatan, pegawai kanan agensi, jabatan dan bahagian kementerian.

"Persidangan sehari ini memberi peluang kepada para peserta mengamati dua sesi perbincangan panel yang menjurus kepada skop mengenai peranan pegawai daerah dari perspektif pentadbiran negeri dan sektor-sektor lain serta apa yang diharapkan daripada pegawai daerah.

"Sesi panel pertama akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Isahak Yeop Mohamad Shar yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak," katanya.

Perbincangan panel kedua pada sesi petang pula terdiri daripada wakil Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Unit Pemodenan Tadbiran dan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Sesi ini akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Rahmah Kasim," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, persidangan tersebut dapat memberi ruang kepada para pentadbir negeri dan daerah untuk bertukar-tukar pandangan, pengalaman, maklumat serta kepakaran yang boleh digembleng bagi menjayakan agenda transformasi nasional.

Katanya, sejak dilaksanakan pada 2007, banyak isu telah dikemukakan di peringkat daerah untuk diberi penelitian oleh pihak berwajib di peringkat Persekutuan.

"Isu yang dibangkitkan meliputi pelaksanaan projek fizikal luar bandar khususnya soal tanah yang kerap kali memberikan impak kepada kelancaran pelaksanaan projek rakyat di luar bandar.

"Isu lain ialah dari segi penyampaian, penyelarasan dan pemantauan program-program luar bandar yang menuntut kerjasama semua pihak terbabit dengan pembangunan luar bandar," katanya.

Beliau menambah, beberapa isu berkait pembangunan modal insan luar bandar turut dikenal pasti memerlukan perhatian dan tindakan lanjut untuk memastikan kesejahteraan rakyat. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment