My Add

Sunday 8 June 2014

Usah kompromi soal Raja Berperlembagaan

KUALA LUMPUR, SABTU 07 Jun, 2014: Rang Undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) akan hanya menambah kekeruhan situasi di negeri berkenaan sekiranya kedudukan Raja Berperlembagaan dikompromikan.

Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, hal ini berpotensi menjejaskan kepentingan jangka panjang rakyat di negeri itu dan warga Malaysia secara amnya.

"Selaku rakyat Johor yang telah berkhidmat lebih 30 tahun membangunkan ekonomi Johor menerusi JCorp, saya tidak setuju dan percaya ramai rakyat turut menentang rang undang-undang LPHJ dibentang untuk pertimbangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

"Jika diberi kuasa undang-undang penuh kepada Sultan Johor mencampuri urusan pentadbiran, ia secara langsung akan mencemarkan kedudukan baginda dan merosakkan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan pelbagai pihak yang mahu kerajaan Johor menangguhkan pembentangan rang undang-undang itu yang dijadualkan pada Isnin ini.

Jelas Muhammad Ali, tindakan tersebut juga dikhuatiri akan memburukkan lagi kecelaruan dalam pentadbiran di negeri tersebut, yang sejak kebelakangan ini dilihat terjejas setelah terdapat campur tangan Istana Johor.

"Jika dibiarkan, kecelaruan ini pasti merosakkan kepentingan rakyat Johor terutamanya apabila terdapat campur tangan dalam pentadbiran tanah atau urusan syarikat milik kerajaan (GLC) negeri.

"Rakyat semakin bimbang melihat tanah, harta dan bisnes strategik milik Johor terlepas kepada kepentingan asing atau milik individu terpilih, mengenepikan kepentingan jangka panjang rakyat negara ini," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Ali turut menegaskan bahawa kecelaruan itu antaranya berpunca daripada kecuaian kepimpinan dan kelemahan tindakan di peringkat penguasa politik Johor.

"Perkara ini sepatutnya tidak timbul jika penguasa politik negeri proaktif, terlebih dahulu bertindak tegas mempertahankan Perlembagaan negara dan tidak mengkompromikan status Sultan Johor sebagai Raja Berperlembagaan tanpa berkuasa mutlak.

"Justeru, saya tidak faham kenapa wakil rakyat dan seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor harus semudah itu mengizinkan rang tersebut dibentangkan dalam sidang dewan negeri.

"Saya juga berpendapat kenyataan Menteri Besar selaku Pengerusi LPHJ berkuasa mutlak, seumpama kuasa Pengerusi JCorp bukan alasan yang boleh diterima rakyat untuk meneruskan rang undang-undang LPHJ," katanya.

Menurut Muhammad Ali, berdasarkan pengalaman peribadinya di JCorp, jelas membuktikan kuasa mutlak Menteri Besar selaku Pengerusi Jcorp pernah dikompromikan pemimpin politik negeri.

"Pengerusi JCorp ketika itu, sekali pun berkuasa eksekutif penuh, gagal atau takut menggunakan kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang kepadanya dan lebih berminat mematuhi sepenuhnya

"Oleh itu, rang undang-undang merupakan satu cadangan yang tidak dapat rakyat Johor terima kerana bercanggah dengan perlembagaan, juga satu precedent (duluan) pentadbiran berbahaya kerana ia pasti merosakkan kepentingan besar rakyat dan negara,

"Jadi jika dibiarkan, duluan ini juga berpotensi mengancam masa depan JCorp dan agensi negeri lain kerana dikhuatiri apabila kedudukan Raja Berperlembagaan dikompromi, terdapat kemungkinan semua akan terdedah tanpa soal kepada campur tangan atau titah perintah istana," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment