My Add

Thursday, 19 June 2014

YTL tarik diri dalam projek janakuasa Track 4A di Johor

Oleh Fauzi Jaafar

KUALA LUMPUR, RABU 18 Jun, 2014: YTL Power International Bhd., (YTL Power) akhirnya mengambil keputusan untuk tidak terlibat dalam projek janakuasa Track 4A di Johor bagi mengelak sebarang kesangsian terhadap komitmen tadbir urus dan ketelusan kerajaan.

Pengeluar janakuasa bebas pertama negara itu berkata, bagaimanapun pihaknya sedia untuk mengambil bahagian dalam projek itu atau projek lain dengan syarat-syarat yang kompetitif serta bersedia melaksanakannya dalam masa yang pantas.

Katanya, YTL Power berkeyakinan untuk menawarkan kadar yang berdaya saing seperti yang disenaraikan dalam tender baru-baru ini.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana mempunyai keyakinan ke atas YTL Power sebagai sebahagian daripada konsortium untuk melengkapkan projek itu dengan pantas.

"Namun, ekoran tanggapan salah ke atas projek itu, YTL Power memutuskan untuk tidak turut serta dalam projek tersebut seperti yang dirancangkan bagi mengelak kesangsian terhadap komitmen tadbir urus dan ketelusan kerajaan," kata YTL Power dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pada 27 Mei lalu, YTL Power menerima surat anugerah yang diberikan oleh Suruhanjaya Tenaga dan dihantar kepada SIPP Energy yang menyebut mengenai penyertaan YTL Power dan Tenaga Nasional Bhd., (TNB) sebagai ahli konsortium bagi projek loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan 1,000 sehingga 1,400 MegaWatt (MW) atau Track 4A di Pasir Gudang, Johor.

Suruhanjaya Tenaga dalam kenyataan akhbar pada 31 Mei pula mengumumkan pemberian tender secara terus serta bersyarat itu dibuat kerana loji janakuasa itu memerlukan masa yang pantas untuk disiapkan dan keperluan untuk mengikut syarat-syarat serta tarif yang dikenakan hampir setanding dengan loji janakuasa CCGT Prai yang diberikan kepada TNB pada 2012.

"Suruhanjaya Tenaga sentiasa telus terhadap syarat dalam surat anugerah yang diumumkan mereka. Walau apapun penjelasan Suruhanjaya Tenaga ini, terdapat salah faham semenjak kebelakangan ini dan orang ramai mempertikaikan mengenai cara projek itu diberikan," kata YTL Power.

YTL berkata, pihaknya sedia untuk turut serta dalam projek lain dengan syarat mesti diperoleh secara kompetitif dan sedia melaksanakannya mengikut tempoh yang ditetapkan.

"YTL Power kekal komited melabur dalam negara ini di bawah kepimpinan kerajaan sedia ada dan menyokong usaha Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaan," kata YTL Power.

Sementara itu, Saham YTL Power di Bursa Malaysia memberi respons negatif terhadap penarikan diri daripada projek loji janakuasa Track 4A di apabila sehingga sehingga pukul 11 pagi, sahamnya turun satu sen kepada RM1.47 selepas dibuka satu sen lebih tinggi pada RM1.49, dengan 1.72 juta saham bertukar tangan.

Penganalisis mengekalkan saham YTL Power sebagai neutral. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment