My Add

Monday, 30 January 2012

105 masuk UMNO

NIBONG TEBAL, ISNIN, 30 Januari, 2012: Selama lebih 40 tahun, ahli UMNO di Kampung Batu 4, Jalan Sempadan dekat Sungai Bakau, di sini bernaung di bawah Cawangan UMNO Sungai Bakau, namun kini mereka mampu bergerak sendiri dengan tertubuhnya Cawangan UMNO Batu 4.

Ia susulan kemasukan 105 penduduk kampung itu ke dalam UMNO yang menyerahkan borang keahlian mereka kepada Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal, Datuk Zainal Abidin Osman pada majlis Komuniti Bersama Pemimpin di sini, malam semalam. 

Wakil penduduk terbabit, Mohd. Abu Khir Puat, 33, berkata, kebanyakan mereka sebelum ini tidak menyertai mana-mana parti namun kini mengambil keputusan menyertai UMNO dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, mereka mengambil keputusan itu kerana bimbang para pemuda di kampung itu dipengaruhi dakyah pembangkang serta terpesong dengan janji-janji palsu Pakatan Rakyat.

"Sebelum ini kami tidak menyertai mana-mana parti biarpun ada dilihat cenderung menyokong pakatan, namun kini mengambil keputusan menyertai UMNO.

"Kami berharap kemasukan kami ini akan mengukuhkan UMNO di kawasan ini serta dapat bergiat aktif melalui cawangan baru tersebut," katanya pada majlis yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Datuk Mahmud Zakaria.

Tambahnya, langkah itu juga berjaya menggagalkan usaha pihak pembangkang untuk menarik golongan muda di kampung tersebut sebagai ahli pakatan.

Sementara itu, Zainal berkata, tindakan yang diambil penduduk terbabit membuktikan UMNO terus mendapat sokongan rakyat dan akan mengukuhkan BN bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau turut melahirkan keyakinan majoriti undi bagi DUN Sungai Acheh akan bertambah pada PRU Ke-13 ini dengan sokongan dan komitmen yang ditunjukkan oleh masyarakat setempat itu.

"Saya juga yakin BN akan kembali merampas Parlimen Nibong Tebal yang kini dipegang oleh wakil rakyat bebas, Tan Tee Beng yang dulu pemimpin Parti Keadilan Rakyat," ujarnya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment