My Add

Monday, 30 January 2012

Amaran awal sebelum PRU-13

Oleh SAHBULAH DARWI

ALOR SETAR, ISNIN, 30 Januari, 2012: Langkah UMNO mengambil tindakan disiplin awal terhadap mereka yang mensabotaj parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah satu tindakan bagi memastikan parti tidak kecundang akibat pengkhianatan dalaman.

Sambil menyambut baik langkah itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, tindakan berkenaan amat penting dan tepat pada masanya bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).

"Kita semua tahu, di Kedah ada beberapa kerusi yang kita kalah adalah berpunca daripada perbuatan sabotaj dalaman dengan tidak keluar mengundi serta tidak memberi undi kepada calon BN," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Jawatankuasa Disiplin parti itu akan mengambil tindakan disiplin lebih awal ke atas mana-mana pemimpin dan ahli yang cuba mensabotaj parti sebelum PRU-13 berlangsung.

Ahmad Bashah berkata, tindakan disiplin berkenaan melambangkan ketegasan UMNO untuk membendung budaya mencantas di kalangan pemimpin dan ahli UMNO seperti yang berlaku pada PRU 2008.

Beliau berkata, sekiranya berlaku lagi peristiwa sabotaj itu pada PRU akan datang, misi untuk menawan Kedah amat sukar dicapai.

''Nasihat sudah diberi dengan rata-rata pemimpin UMNO bercakap supaya bersatu padu dan setia kepada parti, kemudian ikrar juga sudah dilafazkan untuk bersatu hati dan tenaga kepada parti dan sekarang adalah peringkat bertegas dengan mengambil tindakan menghukum mereka yang cuba melakukan sabotaj itu," katanya.

Justeru, Ahmad Bashah juga mencadangkan agar parti komponen BN turut mengambil langkah yang sama untuk mengelak perbuatan khianat dan sabotaj terhadap calon-calon BN.

"Saya lihat ada kewajaran parti komponen BN turut mengikut jejak langkah UMNO," katanya. 

No comments:

Post a Comment