KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Januari, 2012: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sekali lagi menegaskan yang ia bukan sebuah pertubuhan rasis, sebaliknya berjuang mempertahankan asas Perlembagaan negara yang selama ini berjaya menjaga kemakmuran Malaysia.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, perjuangan Perkasa adalah bagi menyokong dasar afirmatif kerajaan dalam meningkatkan kedudukan ekonomi masyarakat bumiputera di samping mempertahankan hak-hak Perlembagaan lain.
Katanya, ia termasuk kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, hak bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan raja-raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu.
Tegasnya lagi, asas perjuangan Perkasa adalah sama sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan yang dibentuk oleh pemimpin-pemimpin terdahulu sewaktu negara mencapai kemerdekaan dan ia telah menjadi kontrak sosial yang menjamin keamanan Malaysia yang penduduknya berbilang kaum.
"Mereka (pembangkang) telah mengeksploitasi isu (perkasa rasis) ini dengan menggunakan media baharu serta laman web dan membawa satu demi satu isu yang diputar-belitkan," katanya selepas majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Perkasa di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini, semalam.
Menurut Ibrahim, beliau berbangga dengan sambutan luar biasa masyarakat Cina terhadap majlis yang pertama kali dianjurkan oleh Perkasa itu yang merupakan usaha untuk mengeratkan lagi hubungan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Katanya, walaupun Perkasa berjuang agar matlamat penguasaan 30 peratus ekonomi dapat dicapai masyarakat bumiputera, Perkasa juga memandang serius terhadap masalah kemiskinan kaum-kaum lain termasuk etnik di Sabah dan Sarawak.
"Sekarang ini masyarakat Tionghua sudah jauh maju ke hadapan dan menguasai lebih 50 peratus ekonomi. Walaupun bumiputera adalah majoriti, tetapi mereka toleran terhadap masyarakat Tionghua yang memang masyarakat perdagangan.
"Sebab itu saya minta masyarakat Tionghua untuk membantu bumiputera dalam bidang perdagangan dan pembuatan supaya matlamat 30 peratus itu tercapai dan bumiputera akan bahagia dan ia membantu menjamin keselamatan negara pada masa akan datang," katanya.
Jelasnya, dalam membantu mengatasi persepsi negatif terhadap Perkasa, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina dan respons yang diterima adalah positif serta menggalakkan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment