My Add

Monday 30 January 2012

Sara 1Malaysia skim bantuan berbentuk pinjaman

KUALALUMPUR, ISNIN, 30 Januari, 2012: Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia), yang baharu dilancarkan pada 12 Januari lepas, merupakan skim bantuan kerajaan berbentuk pinjaman melalui bank-bank terpilih.

Ini bertujuan membantu meningkatkan pendapatan dan menggalakkan penabungan dan pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sara 1Malaysia.
Sara 1Malaysia tidak boleh disertai secara tunai.

Skim ini terbuka kepada warganegara Malaysia berumur dari 18 hingga 58 tahun, yang memperoleh pendapatan kasar bulanan isi rumah antara RM500 dan RM3,000, dan tidak diisytiharkan muflis semasa memohon serta sepanjang tempoh penyertaan dalam skim itu.

Pemohon dan/atau pasangan juga mestilah tidak pernah menerima bantuan daripada skim-skim khas lain kerajaan yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) seperti Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), ASB Sejahtera dan ASW2020-Bandar, selain tidak memiliki pelaburan dalam mana-mana tabung unit amanah ASNB.

Sekiranya ada, jumlah pelaburan terkumpul mesti bersamaan ataupun kurang daripada RM10,000.

Mereka yang berkelayakan berpeluang memohon pinjaman berjumlah RM5,000 untuk melabur dalam Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia). – BERNAMA

No comments:

Post a Comment