My Add

Tuesday 31 January 2012

Pengundi penentu kemenangan - Musa Hitam

JOHOR BAHRU, SELASA,31 Januari, 2012: Hanya pengundi yang akan menentukan sama ada calon daripada sesebuah parti politik itu merupakan calon yang boleh menang atau sebaliknya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, antara kriteria yang perlu ada bagi seseorang calon boleh menang ialah merangkumi kebolehan memenuhi keperluan rakyat dan parti politik yang diwakili mereka.

Menurutnya, semua parti politik perlu melakukan senarai semakan calon bagi memastikan mereka adalah yang terbaik sebelum meletakkan individu berkenaan sebagai calon pilihan raya.

"Apa pun pandangan parti terhadap calon yang bakal dipilih, satu perkara yang pasti adalah mereka tidak akan dapat mencari calon yang sempurna tetapi memadai sekiranya mereka mampu memenuhi kehendak rakyat dan parti," katanya selepas merasmikan Bangunan Galleria Seri Alam, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Ismail Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMLand, Pee Tong Lim dan Pengurus Besar Seri Alam Properties, Frankie Tan Kiat How.

Musa berkata, rakyat kini kebanyakannya berpelajaran tinggi serta berfikiran kritikal dan mengetahui setiap perkara yang berlaku bukan sahaja di dalam parti politik serta individu di dalamnya, malah keadaan politik semasa, strategi dan ideologi yang dibawa parti berkenaan.

Beliau berkata, pemilihan calon boleh menang juga perlu diperluaskan dan perlu disokong oleh rakyat dan pengundi di kawasan mereka.

"Individu yang dipilih sebagai calon harus memenuhi aspirasi dan mampu berkomunikasi dengan masyarakat di semua peringkat.

"Mereka juga harus memberikan perhatian kepada golongan kelas pertengahan yang terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa bagi menjamin kemenangan pada pilihan raya akan datang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment