My Add

Tuesday 31 January 2012

Kerajaan tiada kaitan dengan angpau putih - Najib

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Januari, 2012: Pemberian angpau berwarna putih pada satu perhimpunan Tahun Baru Cina anjuran Perkasa pada Ahad lepas, yang dianggap menghina kaum Cina kerana ia biasanya diberikan semasa kematian, tidak ada kaitan dengan kerajaan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, pemimpin Perkasa, sebuah badan bukan kerajaan, adalah Datuk Ibrahim Ali yang merupakan Ahli Parlimen Bebas, dan oleh itu, pemberian paket berwarna putih pada majlis itu tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang dipersetujui oleh kerajaan.

Menulis dalam Facebook berbahasa Cina beliau, “Ah Jib Gor”, Najib berkata :
“Saya berpendapat bahawa jika kita benar-benar faham budaya dan pantang larang kaum Cina, kontroversi seperti ini boleh dielakkan.

"Kita semua tahu perkataan angpau ertinya envelop merah, yang warnanya mestilah merah dan bukan warna lain. Insiden ini boleh dijadikan satu pengajaran sosial.” Semalam Naib Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong meminta Perkasa memohon maaf kepada masyarakat Cina berhubung kejadian itu manakala Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chai Kim Sen menyifatkan tindakan Perkasa itu sebagai tidak menghormati adat budaya kaum Cina.

Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Bakar telah menjelaskan bahawa angpau berwarna merah memang digunakan pada majlis itu tetapi disebabkan ia telah kehabisan, envelop putih terpaksa digunakan. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment