My Add

Monday, 30 January 2012

PPP hanya minta kerusi jika yakin boleh menang

SUNGAI PETANI, ISNIN, 30 Januari, 2012: Parti Progresif Penduduk (PPP) hanya akan meminta kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) jika yakin sepenuhnya boleh menang di kawasan berkenaan. 

Presidennya, Datuk M Kayveas, berkata PPP meletakkan kemenangan sebagai keutamaan bagi membantu Barisan Nasional (BN) memenangi PRU-13 dengan cemerlang.

"Setiap permintaan bergantung kepada keputusan boleh menang atau tidak. Jika kita yakin boleh menang 100 peratus barulah kita minta. Kita tidak minta hanya hendak tunjuk boleh dapat banyak kerusi (untuk ditandingi).

"Namun jika belum bersedia dan pengundi juga tidak mahu, kita tidak akan minta walaupun satu kerusi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perayaan Ponggal 2012 PPP Kedah di Kuil Sri Maha Mariamman, Kampung Tupah, Bedong dekat sini, petang semalam. 

Kayveas bagaimanapun yakin Perdana Menteri akan memperuntukkan lebih daripada satu kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang diberikan kepada PPP pada PRU-12. 

"Saya sudah hantar senarai kerusi Parlimen dan DUN yang dipohon kepada pengerusi BN...tunggulah sampai masanya saya akan umumkan," tambahnya. 

Kayveas berkata, PPP sudah mendaftarkan lebih 100,000 pengundi baru sebagai pengundi pada tahun lalu manakala anggota yang berdaftar sebanyak setengah juta. 

Beliau berkata, PPP sudah merangka pelbagai program, dialog, seminar dan pertemuan dengan pengundi baru tersebut bagi memastikan mereka masih menjadi pengundi dan menyokong BN. 

Selain itu, PPP turut memberi fokus kepada 'Misi 510' tahun ini iaitu setiap cawangan parti di seluruh negara mendapatkan 510 orang anggota baru dan memastikan mereka memberi undi kepada BN pada PRU-13, katanya. 

Kayveas berkata, bagi mencapai matlamat itu, PPP melaksanakan strategi berkunjung rumah ke rumah, bertemu di pasar malam, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dan mengeluarkan kad keanggotaan kepada anggota berdaftar. 

Ketua UMNO bahagian Merbok yang juga Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Mohd Zain serta ketua parti komponen BN daripada MCA, MIC dan GERAKAN turut hadir memeriahkan sambutan itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment