Oleh NURUL HUDA HASSAN
JOHOR BAHRU, ISNIN, 30 Januari, 2012: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) diingatkan supaya sentiasa amanah dalam menentukan penggunaan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang diberikan kerajaan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, biarpun ada pihak mendakwa terserah kepada pemiliknya untuk menebus atau tidak BB1M itu, matlamat utama pemberian adalah untuk membeli buku.
Menurutnya, pelajar IPT yang dianggap sebagai kumpulan yang sentiasa menegur serta menentang penyelewengan serta salah guna kuasa sepatutnya bertanggungjawab terhadap pemberian BB1M.
"Baucar yang kita beri itu adalah duit rakyat dan matlamat program adalah untuk membeli buku, lagipun membaca dan mempunyai akses kepada buku adalah sebahagian proses belajar di IPT," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Waqaf An-Nur di Pasir Gudang, di sini, semalam.
Pada lawatan itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang menyerahkan sumbangan sebanyak RM48,000 untuk pembelian mesin dialisis dan barangan lain bagi kegunaan pengunjung hospital berkenaan.
Terdahulu, beliau merasmikan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon Casuarina Taman Scientex.
Mohamed Khaled menyeru pelajar IPT supaya bersikap jujur dan ikhlas dalam menjayakan pelbagai program yang dijalankan kerajaan kerana ia untuk kepentingan mereka dan masa depan negara.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pelajar IPT yang terlibat dalam pemberian BB1M berjumlah 1.3 juta orang dan hanya segelintir sahaja terlibat dalam penjualan baucar tersebut.
"Sejak kita memberi respons berhubung perkara tersebut, banyak iklan yang menjual BB1M di laman sesawang sudah dikeluarkan, ini satu petanda yang baik," ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment