NAJIB Tun Razak menyertai acara makan bersama pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA Perak di Dewan SJKC Yuk Choy, Ipoh, semalam. Turut kelihatan, Presiden MCA, Dr. Chua Soi Lek (tujuh dari kanan) dan Menteri Besar Perak, Dr. Zambry Abd. Kadir (enam dari kiri). - BERNAMA
Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN dan KHAIRUL BIDIN NUAR
IPOH, ISNIN, 30 Januari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu seluruh parti komponen Barisan Nasional (BN) bergerak sebagai satu pasukan yang mantap dan bersatu padu bagi memastikan parti itu mendapat kepercayaan besar rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Perdana Menteri menegaskan, hanya kesepaduan jentera dan pelaksanaan strategi yang tepat akan membolehkan BN mendepani setiap cabaran sepanjang pilihan raya itu yang dianggap paling getir dalam sejarah.
''Saya bukan bercakap mengenai MCA, tetapi semuanya, UMNO, Gerakan, MIC (serta) parti komponen di seluruh negara. Ada pepatah Inggeris menyebut a house divided will fall (rumah yang terbahagi-bahagi akan runtuh).
''Jadi kita perlukan MCA yang bersatu padu, MIC yang bersatu padu, Gerakan yang bersatu padu, UMNO yang bersatu padu. Kita perlukan BN yang bersatu padu," katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA Perak di sini, semalam.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk R. Ganesan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, adalah amat penting untuk jentera BN bekerja keras menambah keyakinan dan kepercayaan rakyat supaya terus menyokong kerajaan.
Beliau menarik perhatian kerjasama erat semua pihak termasuk parti-parti komponen BN dalam mengadakan majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di Sitiawan, dekat sini semalam sehingga mampu menarik kehadiran lebih 50,000 rakyat berbilang kaum.
''Itu adalah antara ukuran kerja kuat yang kita buat untuk menambah keyakinan rakyat kepada kita, kita perlu membina kepercayaan rakyat. Itu kunci kejayaan kita," ujarnya.
Sementara itu, Najib dalam ucapannya juga meminta seluruh ahli dan pemimpin komponen BN Perak supaya memberi kerjasama sepenuhnya kepada Zambry yang juga Pengerusi BN negeri bagi memastikan Perak kekal dalam penguasaan BN.
''Kita mahu pertahan Perak sebagai negeri BN, ini amat penting untuk kita lakukan dan kita akan bekerja kuat. Berilah kerjasama kepada Menteri Besar sebagai Pengerusi BN negeri supaya kita boleh menang," ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment