Oleh AZIAN AZIZ
SHAH ALAM 29 Jan. - Kira-kira 30 peniaga Melayu yang menjual lampu lampu mainan LED berkumpul di i-City di sini Jumaat lalu bagi membantah langkah pihak pengurusan destinasi pelancongan itu yang tidak membenarkan mereka berniaga di kawasan tersebut.
Mereka meminta pihak pengurusan i-City memberikan mereka tapak perniagaan dan sanggup membayar sewa agar dapat berniaga secara sah.
Para peniaga yang diwakili Ketua Biro Keselamatan Pertubuhan Kebajikan Melayu Klang (PKPM), Mohd. Ali Khan Amir Khan kemudian telah diminta menyertai sesi dialog dengan pihak i-City yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Eu Hong Chew.
Semasa sesi dialog berlangsung, beberapa peniaga telah mengemukakan soalan dan meluahkan rasa tidak puas hati masing-masing selain memohon diberikan tapak niaga yang sah.
Bagaimanapun, suasana menjadi tegang apabila Hong Chew enggan memenuhi permintaan para peniaga dengan alasan i-City adalah kawasan persendirian sehingga memaksa perbincangan tertutup dibuat antara wakil peniaga dan pihak i-City.
Hong Chew yang ditemui selepas perbincangan itu berkata, pihak i-City bercadang memberikan tiga buah kedai kepada para peniaga tetapi akan berbincang terlebih dahulu dengan pihak pengurusan sebelum membuat keputusan yang dijangka pada Isnin ini.
"Saya akan jumpa pihak pengurusan dan akan memberikan keputusan selepas berbincang nanti," katanya.
Sementara itu, Mohd. Ali Khan pula berharap agar keputusan yang diberikan pihak i-City Isnin ini akan menggembirakan para peniaga.
"Kita akan tunggu Isnin ini dan harap pihak i-City akan memberikan pertimbangan yang wajar," katanya yang turut diiringi hampir 50 ahli PKPM.
Seorang peniaga, Firdaus Ismail pula memohon i-City memberikan lokasi tapak kedai yang strategik untuk para peniaga menjual barang dagangan masing-masing.
"Janganlah bagi kami berniaga di kawasan yang tiada orang atau berdekatan dengan tempat sampah seperti sebelum ini," katanya sebelum kesemua peniaga bersurai. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment