My Add

Sunday, 29 January 2012

Pemimpin BN perlu analisis calon PRU13 secara mendalam

PAGOH, AHAD, 29 Januari, 2012: Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) di setiap peringkat perlu menganalisis secara mendalam calon yang dicadangkan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi memenuhi kehendak rakyat di kawasan masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, faktor calon amat penting kerana ia merupakan antara fokus utama pemilih dalam pilihan raya umum.

"Saya lihat kali ini walaupun parti yang bertanding itu diberikan nilai oleh pengundi macam BN apa perjuangan, falsafahnya, apa ideologi dan visinya... parti pembangkang pun dinilai juga, tetapi antara faktor yang lebih berat ialah calon.

"Sebab itu kita nak pemimpin BN menganalisis secara mendalam mana calon yang terbaik yang kita nak letakkan di kawasan itu... apa tokoh dia, latar belakang dia, dan penerimaan secara umum, ini penting,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia zon Sungai Terap/Sungai Raya di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, parti komponen BN ketika ini masih dalam peringkat mengenal pasti calon-calon yang berpotensi.

"Sekarang ini belum selesai lagi untuk mengenal pasti calon-calon berpotensi, masih dalam proses penilaian yang dibuat setiap parti komponen dalam BN... UMNO dengan penilaian sendiri, MCA, MIC pun ada senarai-senarainya,” katanya.

Beliau juga berkata, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak juga belum mengeluarkan arahan untuk setiap parti mengemukakan senarai calon masing-masing. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment