PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian, R. Perumal menyerahkan kunci kepada penerima pada majlis penyerahan rumah Program Bantuan Rumah di Kampung Orang Asli Bukit Payung, Taboh Naning, Melaka, kelmarin.
Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
ALOR GAJAH, ISNIN, 30 Januari, 2012: Tiada yang lebih menggembirakan bagi sembilan keluarga Orang Asli di Kampung Bukit Payung, di sini apabila rumah usang yang didiami mereka sebelum ini berubah wajah dan menjadi lebih selesa dalam tempoh yang singkat iaitu 104 hari sahaja melalui Program Bantuan Rumah (PBR).
Orang Asli dari suku kaum Temuan ini juga bukan sahaja dapat menikmati rumah tiga bilik, malah turut dilengkapi dengan bekalan elektrik dan air.
Seorang penduduk, Tipah Bata, 39, berterima kasih kepada kerajaan, khususnya Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta pelaksana projek berkenaan iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana memberi perhatian terhadap kebajikan Orang Asli.
"Terima kasih banyak-banyak kepada agensi terlibat terutamanya kepada ATM yang bertungkus-lumus membina rumah saya ini, besar, selesa dan lengkap dengan kemudahan asas," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci rumah PBR di Kampung Bukit Payung, Taboh Naning, di sini, kelmarin.
Bujen Sulak, 71, pula menganggap pemberian rumah PBR ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap masyarakat Orang Asli dan juga membuktikan bahawa mereka juga mempunyai hak untuk menikmati kesenangan dan kemudahan seperti kaum-kaum lain.
"Ini menunjukkan masyarakat Orang Asli tidak pernah disisihkan dan kerajaan sentiasa memberikan perhatian terhadap kebajikan Orang Asli terutamanya dari segi kualiti hidup, pendidikan dan kesihatan," katanya.
Sementara itu, Chaching Sulak, 61, berkata, dengan adanya rumah PBR itu, dapat memberikan keselesaan kepada anak-anak untuk belajar dan mengulangkaji pelajaran.
"Saya begitu terharu apabila dipilih sebagai salah seorang penerima rumah PBR dan lepas ini anak-anak dapat belajar dengan sempurna dan kehidupan kami sekeluarga juga bertambah selesa," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment