My Add

Monday, 30 January 2012

Pembangkang dibidas isu subsidi gula

BERA, ISNIN, 30 Januari, 2012: Parti pembangkang dibidas kerana melemparkan tohmahan kononnya kerajaan menambah subsidi gula daripada 20 sen kepada 54 sen bagi tujuan memancing undi pada pilihan raya umum akan datang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tohmahan pembangkang itu tidak benar sama sekali kerana semua yang dilakukan kerajaan adalah semata-mata untuk mengurangkan beban rakyat.

"Mereka kata kita tambah subsidi gula daripada RM262.41 juta kepada RM567 juta pada tahun ini adalah untuk pilihan raya.

"Ini semua tidak betul. Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, kalau kita tidak tingkatkan subsidi bermakna harga gula akan naik. Kalau harga gula naik bermakna produk-produk sampingan yang lain juga akan turut meningkat," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Jamuan Sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Bera di sini, semalam.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut berangkat menghadiri majlis tersebut dengan dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob bersama lebih 3,000 penduduk sekitar daerah ini.

Ismail Sabri menegaskan, sekiranya subsidi gula tidak dinaikkan, harga bahan mentah itu akan meningkat di pasaran. Sekali gus, akan mengakibatkan harga produk-produk lain akan naik.

"Sekiranya ini berlaku, maka tidak ada gunanya kita berusaha mengurangkan beban rakyat tetapi harga barang meningkat dan ini akan menjejaskan usaha kita dalam membantu rakyat," katanya.

Dalam perkembangan yang sama Ismail Sabri berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan berlakunya kegiatan penyeludupan gula ke negara jiran akibat kenaikan produk itu di pasaran dunia.

Jelasnya, kerjasama erat kementeriannya dengan agensi penguatkuasaan seperti Unit Pencegahan Penyeludupan dan Polis Diraja Malaysia akan sentiasa dipertingkatkan bagi membendung kegiatan tersebut.

"Saya amat berharap setiap rakyat perlu mempunyai rasa tanggungjawab dan cintakan negara dengan tidak melibatkan diri dengan kegiatan yang merugikan rakyat serta negara itu.

"Kesedaran ini perlu ada dalam diri, jangan hanya kerana sedikit keuntungan kita jual maruah negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment