My Add

Tuesday 31 January 2012

Guris perasaan umat Islam seluruh dunia

SHAH ALAM, SELASA, 31 Januari, 2012: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan agar lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukan negara Israel kerana ia boleh menyentuh perasaan umat Islam di seluruh dunia.

Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr. Mohd. Roslan Mohd. Noor menegaskan, pihaknya boleh menerima penjelasan yang diberikan oleh Anwar bahawa beliau menyokong agar tiadanya hubungan diplomatik dengan rejim Zionis ekoran kenyataan kontroversinya mengenai 'sokongan terhadap usaha memberikan perlindungan kepada keselamatan Israel'.

Namun, katanya, Anwar perlu membuktikan terlebih dahulu bahawa The Wall Street Journal (WSJ) tidak memetik sepenuhnya kenyataan beliau itu.

''Kita nasihatkan beliau (Anwar) agar tidak mengulangi kenyataan sedemikian kerana ia memberikan impak besar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Anwar dalam wawancaranya dengan WSJ pada Khamis lalu yang antara lain memetik; ''Saya sokong usaha untuk melindungi keselamatan Israel''.

Mohd. Roslan yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Tamadun dan Sejarah Islam Universiti Malaya berkata, apa yang diperkatakan oleh Anwar itu membabitkan isu antarabangsa dan ia perlu mengambil kira perjuangan rakyat Palestin yang lama tertindas oleh rejim Zionis.

''Semenjak Palestin dijajah pada 1917 hingga hari ini, rakyatnya hidup dalam sengsara, terbuang dan menjadi pelarian. Hak rakyat Palestin mesti terus dibela," katanya. - UTUSAN

Justeru, beliau meminta agar tidak ada mana-mana pihak termasuk para pemimpin politik di negara ini menimbulkan sesuatu yang menyebabkan rakyat Palestin terus dihina.

''Umat Islam perlu membela rakyat Palestin. Kerajaan mesti mengelakkan diri daripada mengadakan hubungan dengan Israel dan agensinya selagi Israel tidak mengiktiraf negara Palestin.

''Kerajaan perlu desak Israel agar berundur dari tanah yang diceroboh dan mendesak mereka berundur ke sempadan," katanya yang juga lulusan Pengajian Islam Jurusalem.


No comments:

Post a Comment