My Add

Tuesday 31 January 2012

BN kunci kejayaan kaum Cina

Oleh SOFIAN BAHAROM

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Januari, 2012: Nikmat keamanan dan kestabilan negara di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan kunci utama kejayaan masyarakat Cina meraih kekayaan di negara ini.

Sehubungan itu, Pengerusi Penganut Dewa Teoh Kong Seng, Roger Hia Lim Koaa berkata, mereka harus menghargai segala nikmat kemakmuran yang dikecapi di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Berkat kestabilan dan keamanan yang berjaya dilaksanakan oleh kepimpinan BN, maka masyarakat Cina dan pelbagai kaum lain boleh hidup dalam keadaan makmur dan harmoni, sekali gus menjadi lubuk mencari rezeki serta meraih kekayaan tanpa sebarang halangan.

“Begitu juga dengan kecekapan kerajaan BN menarik pelaburan asing oleh menyebabkan segala peluang ekonomi dan peluang pekerjaan terbuka luas kepada rakyatnya untuk dimanfaatkan sebaik-baiknya. Jadi, yang mendapat habuannya ialah kita semua,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa menghadiri Kempen Sayangi dan Mendoakan Kesejahteraan Perdana Menteri, di sini, semalam.

Roger berkata demikian ketika mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam perutusan Tahun Baru Cina baru-baru ini bahawa masyarakat Cina masih boleh meraih kekayaan walaupun kegagalan kepimpinan BN dan menyeru orang ramai agar tidak menghargai nikmat kemakmuran yang dikecapi di bawah kerajaan BN.

Kempen tersebut turut diisi dengan majlis pemberian sumbangan berupa katil, mesin basuh, lampin dan kerusi roda kepada badan-badan kebajikan sekitar Lembah Klang iaitu Rumah Kebajikan Care, Pertubuhan Kebajikan Wanita Ikhlas Selangor, Pertubuhan Belia Kristian (YMCA) Kuala Lumpur dan Rumah Orang Tua Ampang.

Turut hadir Naib Presiden Kelab Belia Graduan 1Malaysia, Gary Chan Pin Wah; Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bukit Bintang, James Leow dan Setiausaha BN Parlimen Bukit Bintang, Frankie Gan Joo Zin.

Sementara itu, Gary berkata, pihaknya menolak segala tindakan pihak-pihak tertentu yang cuba menghancurkan keharmonian di negara ini dan menyifatkan perhimpunan haram berunsur politik hanya menimbulkan pelbagai sentimen yang merugikan rakyat.

“Kami menyeru para graduan agar membalas segala jasa baik kerajaan yang memberikan kemudahan pendidikan termasuklah pinjaman melanjutkan pelajaran,” ujarnya. = UTUSAN

No comments:

Post a Comment