My Add

Monday 30 January 2012

'Kuasa Ketiga' boleh jadi penentu keputusan PRU: Adnan

KUANTAN, ISNIN, 30 Januari, 2012: 'Kuasa ketiga' boleh menjadi penentu kepada keputusan pilihan raya umum (PRU) akan datang namun ia tidak akan menjejaskan keyakinan dan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN). 

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengakui apa yang dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai ancaman `kuasa ketiga' itu adalah benar dan ia perlu diberi perhatian.

"Tapi apa yang penting ialah pengundi, kerana mereka yang akan menentukan pilihan apabila tiba masanya (PRU) nanti," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pakaian dan beg sekolah kepada 1,565 pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Kuantan sumbangan Yayasan Pahang di sini hari ini.

Adnan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa BN sedia berdepan dengan siapa sahaja termasuk 'kuasa ketiga' yang didakwa akan menjadi ancaman dan penentu pada PRU ke-13 nanti. 

Muhyiddin mengakui sukar meramalkan 'kuasa ketiga' tetapi bersedia menghadapinya dan akan ditentang seperti pembangkang lain. 

Adnan berkata kewujudkan 'kuasa ketiga' tidak dapat dielakkan kerana masyarakat semakin terdedah kepada pelbagai maklumat. 

Katanya sekiranya 'kuasa ketiga' itu merujuk kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), beliau percaya tidak semua NGO adalah anti kerajaan kerana sesetengahnya turut menyokong agenda kerajaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment