Oleh HARIS FADILAH AHMAD
KUALA LIPIS, ISNI, 30Januari, 2012: Dakwaan sesetengah pihak khususnya pembangkang yang menyatakan kerajaan negeri menganaktirikan projek tertentu di luar bandar termasuk peruntukan kepada kebajikan Orang Asli di pedalaman Pahang tidak benar sama sekali.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan pembangunan luar bandar sejak diberi mandat memerintah negeri ini.
"Dakwaan itu perlu diperbetulkan kerana kerajaan mempunyai jawatankuasa melibatkan kementerian dan agensi kerajaan negeri yang bergerak secara kolaboratif untuk merancang dengan lebih berkesan serta penduduk luar bandar menerima manfaat sebaik mungkin," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) Bersama Penduduk Orang Asli di Pos Betau, dekat sini, kelmarin.
Hadir sama Pengerusi Kosma Pahang, Datuk Abdul Jabbar Ibrahim.
Menurut beliau, pelancaran Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar (PILB) sebelum ini merupakan iltizam baru kerajaan mengubah landskap kawasan pedalaman serta perkampungan Orang Asli terutama dari segi pembangunan prasarana, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.
Sebagai contoh jelasnya, kerajaan negeri berjaya menyiapkan jalan dari Pos Betau ke Pos Lenjang sejauh 15 kilometer di samping menyediakan kemudahan bekalan elektrik serta air bersih yang memberi manfaat kepada 5,000 penduduk di 18 penempatan Orang Asli di Hulu Jelai, di sini.
Wan Rosdy yang juga Ketua UMNO Cameron Highlands berkata, pembangunan luar bandar masih menerima peruntukan besar pada setiap tahun dan jika tidak mencukupi, suntikan tambahan kewangan akan dibuat supaya projek dirancang tidak terjejas.
"Transformasi pembangunan berasaskan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) antara petunjuk usaha yang dibuat kerajaan negeri bagi kepentingan pembangunan luar bandar termasuk Orang Asli di pedalaman negeri ini," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment