KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Januari, 2012: Kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau menyokong semua tindakan bagi menjaga keselamatan Israel bukan sahaja memalukan Malaysia, malahan dunia Islam secara keseluruhan.
Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin berkata, sebagai seorang Islam, seseorang individu itu perlu mengutamakan 'keselamatan' rakyat Palestin terlebih dahulu yang saban hari berhadapan dengan tindakan kejam rejim Zionis.
Katanya, walaupun Anwar menyebut keperluan Israel 'menghormati' aspirasi Palestin ketika dalam satu wawancara baru-baru ini, Ketua Pembangkang itu dilihat condong menyebelahi rejim Zionis apabila menjawab tentang prospek hubungan diplomatik Malaysia -Israel jika beliau menjadi Perdana Menteri nanti.
"Sebagai bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), kenyataan Anwar itu amat memalukan, tidak bertanggungjawab, hina dan keji. Semua negara Islam mengutuk tindakan Zionis yang hampir setiap hari melakukan penahanan sewenang-wenang terhadap rakyat Palestin.
"Daripada seorang yang konservatif sewaktu memimpin ABIM, Anwar kini dilihat semakin liberal dalam setiap kenyataan yang dikeluarkan termasuk isu 'gay' semata-mata kerana ingin memenangi hati dunia Barat, seterusnya mengimpikan cita-cita menjadi Perdana Menteri Malaysia," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas sebuah wawancara Anwar dengan WSJ Khamis lalu mengenai pendiriannya yang menyokong semua usaha untuk menjaga keselamatan negara Israel.
Dalam wawancara itu, Anwar tidak menyatakan secara jelas sama ada berhasrat membuka hubungan diplomatik dengan Israel, apabila hanya memberitahu usaha berkenaan bergantung sama ada Israel akan menghormati aspirasi rakyat Palestin.
Mohammad Fairus menambah, ekoran kenyataan itu, tidak mustahil Anwar akan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel jika ditakdirkan menjadi Perdana Menteri pada masa depan.
"Ini semua kuasa Allah, rakyat kini dapat menilai sikap lidah bercabang dan putar-belit Anwar. Sepatutnya setiap umat Islam perlu menyatakan pendirian teguh bahawa Palestin harus menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat tanpa sebarang syarat," tegasnya.
Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari pula memberitahu, kenyataan terbaru Anwar itu membuktikan Penasihat PKR itu kini berusaha memulihkan imej beliau setelah pendiriannya yang berubah-ubah dalam isu Israel-Palestin diketahui dunia Barat.
"Anwar berdolak-dalih di sini bagi meredakan kemarahan penyokongnya. Seorang 'putar alam' seperti Anwar akan terus berbohong sedangkan segala butiran temuramahnya ada direkodkan.
"Anwar juga tidak dapat menahan dirinya daripada 'menjaga keselamatan Israel' setelah negara itu muncul sebagai destinasi pelancongan 'gay' terbaik bagi tahun 2011," tegasnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment