My Add

Monday, 30 January 2012

Jangan cuba tegakkan benang basah - Zahid Hamidi

BAGAN DATOH, ISNIN, 30 Januari, 2012: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua serta pemimpin pembangkang supaya tidak lagi cuba menegakkan benang basah dengan membuat tohmahan berhubung pembelian aset pertahanan negara.

Menurut beliau, kerajaan sudah bersikap telus dengan memberi penerangan sebaik mungkin berhubung semua tuduhan yang dilemparkan pembangkang sebelum ini.

''Dia (Tony) asyik bercakap hal-hal aset pertahanan negara seolah-olah pembangkang sudah tidak ada perkara lain hendak diperjuangkan.

''Sudah banyak contoh-contoh dan penjelasan yang amat baik diberi, tidak payahlah dia cuba hendak tegakkan benang yang basah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada kira-kira 2,000 penduduk di Wisma UMNO Simpang Empat di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas pertemuan dengan Tony serta beberapa pemimpin pembangkang baru-baru ini bagi menjelaskan tuduhan yang dilemparkan berhubung pembelian aset pertahanan negara.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya telah mempelawa Tony dan pemimpin pembangkang terbabit untuk melihat dan mendengar sendiri penjelasan secara terperinci termasuk oleh pegawai-pegawai angkatan tentera.

''Kita tidak panggil dia (Tony) seorang sahaja tetapi lima Ahli Parlimen. Kita sudah beri penerangan sejelas-jelasnya. Saya percaya penjelasan itu sangat memadai," katanya.

Beliau turut meminta Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara supaya mengajukan sebarang persoalan mengenai kementeriannya di Dewan Rakyat, bukannya dengan membuat tohmahan di blog atau pentas ceramah.

''Kalau tidak lagi berpuas hati, kemukakanlah dalam Parlimen dan kita sama-sama jawab, apa yang nak ditakutkan. Tak payahlah mengunakan blog atau cakap perkara tak betul dalam ceramah," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment