My Add

Tuesday 31 January 2012

Selangor perlukan anak jati

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Januari, 2012: Tengku Panglima di Raja Selangor, Tengku Sulaiman Salahuddin Abdul Aziz Shah tidak mahu negeri itu dikuasai pihak luar yang tidak tahu asal-usul negeri tersebut.

Sehubungan itu, Tengku Sulaiman menggesa agar orang Melayu jangan sesekali menimbulkan perpecahan di kalangan mereka jika mahu keamanan yang dinikmati berkekalan.

Pada masa yang sama, Tengku Sulaiman juga mengingatkan generasi muda di Selangor supaya mengambil iktibar daripada perit jerih pejuang-pejuang terdahulu membina negeri itu.

“Janganlah negeri Selangor dikuasai bukan anak jati yang tidak tahu bagaimana asal-usul negeri ini,” kata Tengku Sulaiman semasa merasmikan majlis meraikan penggiat seni di Kuala Selangor di sini, Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Tengku Sulaiman berharap agar sejarah mengenai Selangor dapat diajar di seluruh sekolah-sekolah di negeri itu bagi memastikan generasi muda menghargai kepentingan raja Melayu.

Mengenai majlis merai penggiat seni, Tengku Sulaiman meminta golongan tersebut agar mengembang potensi yang ada di Kuala Selangor bagi memperkukuhkan lagi perpaduan selaku anak jati Selangor.

“Rakyat Kuala Selangor harus bersatu sebagai anak jati Selangor yang sayangkan negeri kerana daerah ini bermula asal-usul Bukit Melawati (istana),” kata Tengku Sulaiman. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment