My Add

Monday 30 January 2012

BNM umum langkah liberalisasi pasaran kewangan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Januari, 2012: Bank-bank tempatan berlesen kini dibenarkan berdagang mata wang asing dengan mata wang asing lain, dengan pemastautin, berkuat kuasa mulai esok, demikian menurut satu pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

Bank pusat itu juga mengumumkan bahawa mulai esok, bank-bank tempatan berlesen dibenarkan menawarkan derivatif kadar faedah dalam denominasi ringgit kepada bukan bank bukan pemastautin.

Kelonggaran juga diberikan kepada pemastautin untuk menukar obligasi hutang ringgit atau mata wang asing sedia ada mereka kepada obligasi hutang mata wang asing yang lain, katanya dalam satu kenyataan.

Semua langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Bank Negara Malaysia untuk mempertingkat daya saing ekonomi dan membangunkan pasaran kewangan domestik.

Langkah-langkah yang seiring dengan teras am Rangka Tindakan Sektor Kewangan ini akan menyumbang ke arah peningkatan tahap kecairan, keluasan dan penyertaan pelbagai peserta dalam pasaran kewangan domestik. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment