My Add

Tuesday 31 January 2012

SUHAKAM gesa Kelantan atasi segera masalah Orang Asli

KUALA LUMPUR, SeLASA, 31 Januari, 2012: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa kerajaan Kelantan supaya menyelesaikan segera masalah membabitkan masyarakat Orang Asli di negeri itu. 

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam, berkata kerajaan negeri Kelantan perlu melindungi hak Orang Asli di negeri mereka, terutama dalam aspek hak tanah nenek moyang dan hak kehidupan kaum itu.

"Sehubungan itu, SUHAKAM menggesa semua kerajaan negeri supaya menghormati keputusan mahkamah yang memberi hak tanah kepada Orang Asli dan mengadakan lebih banyak rundingan terbuka bersama masyarakat itu," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Hasmy mengulas tindakan polis menahan 13 penduduk masyarakat Temiar, yang dipercayai mengetuai perhimpunan haram mewakili 800 penduduk kaum itu di Kampung Parik, Gua Musang Selasa lalu, kerana membantah tanah adat mereka diceroboh dengan aktiviti pembalakan dan pembukaan ladang. 

Susulan kejadian itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dilapor, berkata tidak ada kategori tanah adat di Kelantan kecuali tanah hutan simpan, tanah kerajaan dan tanah milik. 

Beliau turut mendakwa bantahan itu disebabkan Jaringan Orang Asal Semenanjung (JOAS) yang berpangkalan di luar Kelantan dihasut untuk mengajak kumpulan Orang Asli berkenaan berdemonstrasi berkaitan isu tanah adat. 

Bagaimanapun, Hasmy berkata, pihaknya difahamkan bantahan itu berlaku kerana aktiviti pembalakan masih diteruskan walaupun selepas pihak berkuasa negeri memberi jaminan untuk menyelesaikan ketidakpuasan hati masyarakat Temiar pada pertengahan bulan ini. 
Beliau juga menegur tindakan polis dalam menangani demonstrasi itu yang menunjukkan sikap kurang sensitif dan pemahaman tentang nasib rakyat yang terpinggir. 

“SUHAKAM sedang menjalankan inkuiri nasional mengenai hak tanah Orang Asli bagi merangka syor kepada kerajaan pusat dan negeri supaya mengkaji semula perundangan domestik tanah dan dasar yang menerapkan pendekatan hak asasi,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment