My Add

Monday 30 January 2012

Elak dipenuhi sikap "profesional keangkuhan intelektual"

LONDON, ISNIN, 30 Januari, 2012: Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz mengingatkan kira-kira 500 penuntut Malaysia dari universiti utama di Britain, supaya tidak dipenuhi dengan "profesional keangkuhan intelektual." 

"Apa yang penting ialah untuk mempelajari dari bawah dan jangan biarkan keangkuhan menjadikan mereka lupa bagaimana untuk merendah diri ketika dalam alam pekerjaan," kata beliau dalam ucapannya yang bertajuk "Perkembangan Kerjaya dan Peluang" di persidangan Projek Amanat Negara 2012 Majlis Penuntut Malaysia United Kingdom & Eire (UKEC) di Marble Arch, semalam.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan Eire, Datuk Zakaria Sulong, berkata penuntut hendaklah membina kapasiti intelektual bagi keupayaan berfikir secara kritikal dan mencapai yang terbaik dalam pengajian mereka.

"Bagi mereka yang ingin tinggal di UK dan tidak terikat dengan mana-mana kontrak, anda bebas berbuat demikian tetapi ingat untuk menimba pengetahuan dan pendedahan sebanyak mungkin, kerana satu hari nanti anda akan pulang dan berkongsi pengalaman dengan mereka yang tidak ada peluang seperti ini," kata beliau. 

Persidangan tahunan sehari itu juga mengadakan perbincangan mengenai pelbagai isu seperti hak asasi manusia, agama dalam perspektif umum, politik dan dasar awam. 

Antara panel pada majlis itu ialah Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Anggota Parlimen Kuala Selangor yang juga anggota Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad; Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli; aktivis Datin Paduka Marina Mahathir dan pengasas Sisters in Islam, Zainah Anwar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment