BACHOK, ISNIN, 30 Januari, 2012: UMNO Kelantan menyokong usaha Jawatankuasa Disiplin UMNO untuk menambah bilangan anggota pasukan pemantau bagi menangani masalah disiplin terutama tindakan ahli di pelbagai peringkat yang cuba mensabotaj parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, tindakan disiplin terhadap ahli yang mengkhianati perjuangan UMNO perlu diambil segera dan ia lebih bermakna apabila hukuman itu diputuskan sebelum PRU-13.
Beliau berkata, kegiatan yang merugikan parti seperti fitnah-memfitnah, memburuk-burukkan parti dan kepimpinan perlu dibendung tanpa menunggu selepas pilihan raya bagi tujuan meningkatkan kekuatan parti.
“Ia tidak akan menjejaskan keupayaan UMNO dari aspek sokongan kerana tidak ramai anggota yang bersikap sedemikian. Ia sekurang-kurangnya menjadi isyarat dan amaran bahawa tindakan bertentangan dengan matlamat perjuangan dipantau secara berterusan dan proaktif oleh anggota yang dilantik oleh Lembaga Disiplin,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Awang Adek berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam untuk mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mengenai perkara itu.
Beliau juga turut bersetuju dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggerakkan Jawatankuasa Disiplin parti lebih awal bagi memantau dan bertindak terhadap anggota parti yang melakukan perbuatan khianat terhadap parti. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment