KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Januari, 2012: Bekas ketua jurulatih badminton negara, Razif Sidek membidas keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menyenaraikan juara remaja dunia, Zulfadli Zulkiffli di dalam skuad kelayakan Piala Thomas.
Katanya, Zulfadli sepatutnya diberi peluang mewakili negara pada kejohanan kelayakan itu dari 13 hingga 19 Februari ini di Macau.
Razif memberitahu Bernama TV dalam satu temu bual baru-baru ini bahawa pemain muda itu sepatutnya pergi bersama-sama dengan pasukan Piala Thomas ke Macau supaya dapat menimba pengalaman di kejohanan besar dan berprestij itu.
"Sekurang-kurangnya dia dapat melihat betapa senangnya, betapa sukarnya untuk bermain semasa pertandingan Piala Thomas. Seharusnya diberi peluang.
"Tak kira dia mewakili kelab KLRC ke apa ke, seharusnya BAM membuka pintu, membuka laluan kepada pemain-pemain ini.
“Saya percaya dengan kehadirannya, sekurangnya-kurangnya pada masa hadapan, Zulfadli adalah salah satunya pemain perseorangan kita yang benar-benar berbakat dan boleh menggegarkan dunia di kemudian hari,” katanya.
Zulfadli, yang kini berada di ranking ke-125 dunia dan kedudukan kedua remaja dunia, tidak tersenarai dalam skuad kebangsaan, sebaliknya BAM memilih Datuk Lee Chong Wei, Muhammad Hafiz Hashim, Liew Daren dan Mohd Arif Abdul Latiff.
No comments:
Post a Comment