KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Januari, 2012: Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang dianggotai 163 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu menggesa semua pihak supaya menghentikan kenyataan mendahului siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes Pusat Fidlot Nasional (NFC).
Setiausaha Agung MPM, Dr. Hasan Mad (gambar) berkata, campur tangan dalam kes penyelewengan yang dikaitkan dengan NCF hanya akan membuatkan rakyat semakin keliru dan marah walhal kerajaan sudah mengarahkan SPRM dan polis melakukan siasatan.
“Perlu diingat bahawa rakyat sedang menunggu siasatan oleh SPRM dan polis secara telus. Oleh itu jangan ada pihak yang mengeruhkan lagi kemelut ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semaam.
Menurut Hasan, jika ada pun usaha membantu menerangkan situasi itu, ia dilakukan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asa Tani, itu pun hanya penjelasan mengenai perbezaan antara NFC dan National Feedlot Corporation Sdn. Bhd.
Katanya, kenyataan oleh Ketua Audit Negara pula menimbulkan kekeliruan dan gagal menjelaskan dengan tepat perbezaan antara kedua-duanya yang didakwa pembangkang melakukan salah guna peruntukan geran kerajaan dan dana pinjaman untuk memajukan projek NFC.
Beliau berkata, kekeliruan yang timbul selama ini mendorong banyak pihak tampil membuat pelbagai kenyataan sehingga menggambarkan kerajaan gagal menangani isu itu.
Menurut Hasan, NFC dijadikan isu oleh pembangkang yang ingin menggambarkan seolah-olah ia melibatkan penyelewengan termasuk mengaitkannya dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment