KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Januari, 2012: Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merakamkan sepenuh sokongan kepada semua tindakan bagi menjaga keselamatan Israel adalah satu kenyataan yang menyedihkan dan memalukan serta patut dikesali dan dikecam, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Beliau berkata, kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu secara langsung jelas menunjukkan penerimaan dan sokongan Anwar terhadap segala tindakan yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin selama ini.
Tindakan yang ditakrifkan Israel sebagai perlu bagi menjaga keselamatan negaranya termasuklah serangan ketenteraan besar-besaran ke atas Gaza yang mengorbankan beribu-ribu nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak, penangkapan dan pemenjaraan rakyat Palestin sewenang-wenangnya, pembunuhan rakyat Palestin terutama para pemimpin melalui serangan bom dan peluru berpandu, pembinaan tembok haram yang merentas dan merampas kawasan kediaman orang Palestin.
Pengusiran rakyat Palestin dari kawasan kediaman mereka, pembinaan penempatan haram Israel di kawasan rakyat Palestin, sungguhpun dikecam oleh masyarakat antarabangsa serta pelbagai lagi pelaksanaan dasar yang menindas dan menganiayai rakyat Palestin, katanya.
"Saya ingin menegaskan kerajaan Malaysia tidak pernah menyokong tindakan Israel seperti dijelaskan, malah telah bersama-sama masyarakat antarabangsa mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut yang jelas melanggari perundangan antarabangsa,” kata Anifah dalam kenyataan di sini hari ini.
Ketika ditemu ramah akhbar Wall Street Journal baru-baru ini, Anwar secara terbuka menyatakan ia akan mempertahankan keselamatan Israel. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment