KUALA LUMPURSELASA, 31 Januari, 2012: Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaman The Wall Street Journal (WSJ) jika benar penerbitan itu silap melaporkan kenyataannya berhubung isu Israel.
Kata Zulkifli, Anwar tidak sepatutnya hanya berani menyaman media tempatan terutamanya Utusan Malaysia kononnya mendakwa kenyataan beliau sering disalah lapor.
''Kalau berani, kalau ada pendirian, silakan saman The Wall Street Journal. Tengok apa jadi nanti. Dan saya nasihatkan media Malaysia, eloklah hubungi editorial The Wall Street Journal. Beritahu mereka Anwar kata dia telah disalah lapor," katanya menerusi entri terbaru bertajuk Al-Yahud di blognya di http://zul4kulim.blogspot.com semalam.
Entri itu merujuk kepada kontroversi kenyataan Anwar menerusi wawancara dengan WSJ pada 26 Januari lalu yang antara lain menyokong semua usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel.
Kenyataan itu menimbulkan kemarahan banyak pihak termasuk daripada pemimpin Pas sendiri menyebabkan Anwar menerusi blognya dua hari kemudian memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba memutar belit kenyataannya.
Zulkifli dalam entri yang sama turut mendesak pemimpin Pas menyatakan pendirian berhubung kenyataan itu yang disifatkan beliau sangat penting kerana melibatkan soal maruah negara.
Katanya, pemimpin Pas perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada mereka berkongsi rasa dan pandangan dengan Anwar apatah lagi Penasihat PKR itu mahu ditabalkan sebagai pemimpin kepada pakatan pembangkang.
''Persoalan yang rakyat Malaysia dan umat Islam ingin tahu adalah, adakah pakatan DAP-PKR-Pas akan mengiktiraf rejim zionis Israel? Adakah pakatan DAP-PKR-Pas akan mengadakan hubungan diplomatik dengan rejim zionis Israel? Adakah pakatan DAP-PKR-Pas akan menghantar tentera Malaysia untuk melindungi keselamatan rejim zionis Israel?
''Ini penting kerana rakyat tidak diberitahu apa pendirian mereka jika menjadi kerajaan. Dalam manifesto tidak ada dan dalam Buku Jingga pun tidak ada. Jangan nanti rakyat diperdaya, merasa tertipu dan ditipu," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment