KUALA LUMPUR, SELASA. 31 Januari, 2012: Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan sokongan terhadap usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap Palestin dan umat Islam keseluruhannya.
Penasihat Yayasan Keamanan Global Perdana Malaysia (PGPF), Datuk Mukhriz Mahathir berkata, ini kerana rejim Zionis telah melakukan pelbagai kekejaman terhadap penduduk Palestin sejak sekian lama.
Menurut beliau, bukan sahaja penduduk Palestin, sukarelawan dan aktivis kemanusiaan yang cuba menghulurkan bantuan di Palestin juga turut terkena 'tempias' kekejaman Israel apabila konvoi bantuan mereka diserang serta disekat untuk melaksanakan misi berkenaan.
''Jika pengganas termasuk negara pengganas menzalimi mangsanya, patutkah kita bersimpati dengan mereka (pengganas) atau bersimpati dengan mangsa?
''Setiap kali Zionis Israel membunuh rakyat Palestin, mereka menggunakan alasan mempertahankan keselamatan negara.
''Alasan yang sama juga digunakan apabila jentolak Israel merobohkan rumah-rumah rakyat Palestin di Tebing Barat,'' katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau mengulas wawancara Anwar dengan The Wall Street Journal Khamis lalu mengenai pendiriannya yang menyokong semua usaha untuk menjaga keselamatan negara Israel.
Mukhriz berkata, Israel tidak seharusnya 'dibela' setelah ramainya penduduk di Gaza dibunuh, beratus-ratus resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilanggari, aktivis Flotila Kebebasan ditembak mati dan sukarelawan PGPF ditahan kerana membawa bekalan bantuan.
''Kini seorang yang bercita-cita tinggi menjadi Perdana Menteri pula menggunakan alasan yang sama dalam menyokong negara pengganas Israel.
''Anwar mengkhianati Palestin dan umat Islam sedunia. Malah, masyarakat dunia berbilang agama yang menuntut keadilan bagi Palestin juga turut terkejut dengan kenyataan Anwar yang sebelum ini menonjol dirinya sebagai pemimpin Islam,'' tambahnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment