My Add

Monday, 30 January 2012

Warga asing proses sampah di rumah, tapi buang merata

REAKSI seorang warga asing apabila ditegur kerana menjadikan rumahnya sebagai tempat memproses sampah di Taman Melur, Ampang baru-baru ini.

AMPANG, ISNIN, 30 Januari, 2012: Penduduk Taman Melur di sini meminta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bertindak terhadap warga Myanmar dan Nepal yang membuang sampah secara sesuka hati sehingga mengotorkan kawasan perumahan itu.

Kata mereka, warga asing itu menjadikan rumah mereka sebagai tempat pengasingan sampah sebelum membuang sampah yang tidak diperlukan berhampiran laluan masuk ke kawasan itu.

Selain itu, mereka juga kecewa dan kesal kerana MPAJ dilihat masih gagal menguruskan soal kutipan sampah di kawasan perumahan di situ dan sekitar Ampang dengan berkesan.

Kata mereka, masalah itu mula berlaku sejak pengurusan sampah di kawasan itu diuruskan sendiri oleh MPAJ dan bukan lagi oleh Alam Flora.

Seorang penduduk Taman Melur, Zurinah Mohd. Yusoff, 48, berkata, masalah sampah yang dilonggokkan berhampiran laluan masuk taman perumahan itu yang berpunca daripada warga asing itu seperti tidak kesudahannya.

Katanya, bukan itu sahaja, sampah domestik yang sepatutnya dikutip tiga kali seminggu iaitu pada Isnin, Rabu dan Jumaat juga tidak dilaksanakan mengikut jadual.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Abdul Rahman A. Bakar, 47, berkata, kehadiran warga Myanmar dan Nepal yang mengutip barangan kitar semula menyumbang kepada masalah sampah itu.

Menurutnya, golongan itu akan membawa pulang sampah ke rumah mereka untuk memilih apa yang mereka mahu dan membuang apa yang tidak dikehendaki di merata tempat terutama di laluan masuk itu.

"Malah mereka juga pernah membakar longgokan sampah di sini bagi mengambil besi-besi dari tilam dan sebagainya untuk dijual. Keadaan ini bukan sahaja mengotorkan kawasan perumahan malah membahayakan keselamatan penduduk," katanya ketika ditemui di sini.

Dalam pada itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, Ben Liew berkata, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk mengenai masalah sampah yang tidak dikutip mengikut jadual.

Beliau berkata, sejak kerajaan Selangor mengambil alih pengurusan sampah pada Oktober lalu, pelbagai masalah pengurusan sampah berlaku di negeri ini.

"MPAJ dan kerajaan Selangor perlu bertindak segera kerana sampah yang tidak diuruskan dengan baik akan menyumbang kepada masalah lain terutama penyakit," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment