KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Januari, 2012: Orang ramai memuji pembinaan jejantas pejalan kaki berhawa dingin yang menghubungkan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) ke Bukit Bintang yang mula dibuka untuk kemudahan mereka kerana lebih menjamin keselamatan selain memendekkan tempoh perjalanan.
Tinjauan Harian Metro di kawasan itu semalam mendapati kebanyakan pengguna nyata berpuas hati dengan pembinaan kemudahan terbaru itu yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin.
Selain disediakan laluan bertingkat berhawa dingin sejauh 562 meter, pengawal keselamatan turut ditempatkan di kawasan tertentu sepanjang laluan sejauh 1.173 kilometer bagi menjamin keselamatan orang ramai yang menggunakannya.
Kakitangan kerajaan, Aini Zahirah Mohd Sah, 28, berkata keselamatan orang ramai didapati lebih terjamin apabila menggunakan laluan berkenaan berbanding menggunakan jalan lain selain pada masa sama boleh mengelak berlaku kejadian tidak diingini.
“Saya bangga dengan ada kemudahan sebegini yang turut menjimatkan masa untuk ke destinasi lain, malah memudahkan orang kurang upaya (OKU) kerana dilengkapi kemudahan lif untuk bergerak dari KLCC ke Bukit Bintang,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Seorang lagi kakitangan kerajaan, Mohd Firdaus Kamil Hadi, 30, berkata jejantas dibina itu memudahkan orang ramai bergerak dari Bukit Bintang ke KLCC tanpa perlu menaiki pengangkutan awam.
“Kemudahan ini memudahkan orang ramai dan pada masa sama dapat menyihatkan badan selain memendekkan masa berjalan.
“Ditambah dengan keadaannya yang dilengkapi penghawa dingin, ia begitu mesra
pengguna dan memberi keselesaan kepada orang ramai,” katanya.
Pelancong dari Taiwan, Pan Bing Shu, 45, berkata dengan ada kemudahan, pelancong tidak lagi perlu menggunakan laluan lain yang terdedah kepada matahari kerana jejantas itu begitu memberi keselesaan.
“Malah, kami tidak perlu menggunakan kenderaan awam untuk bergerak dari sini ke KLCC selain keselamatan lebih terjamin,” katanya.
No comments:
Post a Comment