My Add

Monday 30 January 2012

Calon BN mesti pilihan rakyat: Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin menyampaikan replika baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada seorang penerima bantuan pada majlis penyerahan BR1M Zon Sungai Terap/Sungai Raya di Dewan Sekolah Menengah Bukit Pasir, Pagoh, Johor, semalam. Turut hadir isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman (kiri). - BERNAMA

Oleh LUQMAN HAZIQ dan ZULHISHAM ISAHAK 

PAGOH, ISNIN, 30 Januari, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, calon Barisan Nasional (BN) perlu memenuhi kehendak pengundi setempat dan bukan sekadar parti semata-mata bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) nanti.

Timbalan Perdana Menteri berkata, calon tersebut juga mesti seorang yang baik, hebat dan berwibawa selain berpotensi besar untuk menang di kawasan yang ditandinginya.

"Jadi dalam soal ini kita nak minta semua ahli parti utamakan kehendak rakyat iaitu pengundi dan bukan kehendak parti. Walaupun parti itu penting, tetapi kehendak pengundi perlu diutamakan.

"Kalau pengundi kata nak calon A walaupun parti kata A tak berapa banyak sokongan tapi calon itulah popular, maka kita akan beri pertimbangan," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada lebih 500 penerima dari Zon Sungai Terap dan Sungai Raya di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bukit Pasir di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam soal pemilihan calon, semua ahli parti harus mengutamakan kehendak rakyat dan BN kini dalam proses penilaian calon-calon yang berpotensi.

Menurutnya, calon itu perlu mempunyai latar belakang yang baik dan ketokohan di peringkat setempat dan setiap parti komponen BN akan menilai sendiri calon mereka.

Muhyiddin berkata, faktor calon adalah penting ketika ini selain perkiraan lain yang akan dipertimbangkan oleh pengundi seperti perjuangan, falsafah, ideologi dan visi sesebuah parti.

Ditanya sama ada BN akan tetap mengikut pilihan rakyat walaupun calon tersebut bukan daripada kalangan kaum majoriti di tempatnya bertanding, beliau berkata, perkara itu akan dipertimbangkan.

"Kita akan ambil kira (perkara itu) kerana kita ada profil ikut pecahan kaum, baca sikap keseluruhan macam mana pengundi Melayu, Cina dan India termasuk di Sabah dan Sarawak, ada penilaian yang kita buat dan sokongan mengikut kaum," katanya.

Mengenai kemungkinan pertukaran kerusi antara parti komponen di sesebuah kawasan untuk memasitkan kemenangan BN, Muhyiddin berkata, kajian dan penilaian mendalam akan dibuat terlebih dahulu.

"Kalau ada pertukaran kerusi, kita akan pertimbangkan dan buat penilaian pro dan kontra kerana bukan libatkan satu kawasan sahaja tetapi dua kawasan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment