KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Januari, 201: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang berharap Ahli-ahli Parlimen yang bakal dipilih selepas Pilihan Raya Umum ke-13 merupakan golongan yang berwibawa, berjiwa rakyat serta sanggup berkorban demi bangsa dan negara.
Katanya, jika mereka yang dipilih memiliki ciri-ciri berkenaan, maka negara akan sentiasa berada dalam keadaan selamat, aman dan terus berkembang maju.
"Saya bukan maksudkan Ahli-ahli Parlimen sedia ada tidak bagus. Tidak, cuma saya berharap mereka yang bakal dilantik kelak memenuhi ciri-ciri yang saya harapkan itu demi masa depan rakyat serta negara.
"Sekiranya telah dipilih, Ahli Parlimen sewajarnya bermuhasabah diri terlebih dahulu. Fikirkan tanggungjawab serta tugas-tugas yang perlu dilakukan untuk bangsa dan negara.
"Saya tidak mahu ada di antara mereka yang mahukan jawatan tersebut semata-mata kerana populariti atau kepentingan peribadi. Kalau untuk tujuan itu, lebih baik tidak perlu jadi Ahli Parlimen, berhenti sahaja," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan khas daripada Duta Poland, H.E Adam Jelonek di pejabatnya di Parlimen di sini, semalam.
Abu Zahar pada masa sama turut menyanggah kenyataan sesetengah pihak bahawa politik itu kotor.
"Politik tidak kotor sebaliknya ia perlu ada untuk menjaga kepentingan rakyat, agama dan juga negara. Apa yang menyebabkan ia dituduh kotor adalah kerana individu-individu terlibat dalam politik.
"Jadi, bagi mereka yang terlibat dalam politik, fikir-fikirkanlah. Sebab itu saya tekankan supaya bermuhasabah diri sekiranya telah dipilih menjadi Ahli Parlimen, jangan hanya pandai bercakap sahaja tetapi tidak bertindak dan kotakan janji," jelasnya.
Sementara itu, berhubung kunjungan khas Jelonek, Abu Zahar menyifatkannya sebagai usaha untuk mengukuhkan lagi hubungan antara Poland dan Malaysia yang sedia terjalin.
"Tujuan utama beliau (Jelonek) berkunjung adalah untuk menyatakan hasratnya membawa Yang Dipertua Parlimen Poland melawat negara. Kami telah berbincang dan saya akan berusaha menyampaikan perkara ini kepada Perdana Menteri serta Menteri Luar untuk dipertimbangkan.
"Pada masa yang sama, beliau turut mempelawa saya dan juga ahli Dewan Negara mengadakan lawatan ke Poland sebagai salah satu usaha merapatkan lagi hubungan kedua negara," ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment