KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Januari, 2012: Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak keluar  dari Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur, kerana tidak berpuas hati  dengan keputusan hakim memberi kebenaran kepada Menteri di Jabatan  Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua yang lain  mendengar permohonan mengetepikan kes qazaf.
Keadilandaily melaporkan, peguam, Kamar Ainiah Kamaruzzaman berkata, pihaknya enggan  bersekongkol dengan keputusan hakim Datuk Zohdi Toha yang disifatkan  tidak relevan.
Kamar Ainiah tidak dapat menerima keputusan itu kerana  berpendapat hakim perlu mendengar permohonan kebenaran terlebih dahulu  dan memutuskan sebelum mendengar hujah daripada peguam menteri untuk  mengetepi rayuan tersebut.
Laporan selanjutnya menyebut beliau bersama-sama tiga lagi peguam, bertindak keluar dari mahkamah selepas tiga hakim mahkamah rayuan memutuskan perkara itu.
“Kami tidak boleh sertai (prosiding), ia terang-terang satu penyalahgunaan kuasa oleh pihak pemohon.
“Jadi kami terpaksa untuk keluar. Kami akan mengambil tindakan  susulan iaitu menyemak keputusan kehakiman,” kata Kamar Ainiah kepada  pemberita di luar mahkamah.
Anwar Ibrahim pada 23 April tahun lalu memfailkan notis rayuan  terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur ekoran mahkamah  membenarkan bantahan awal Jamil untuk membatal permohonan Anwar supaya  Mohd Saiful Bukhari Azlan didakwa mengikut qazaf.
Anwar pada Ogos tahun lalu juga mengemukakan permohonan di Mahkamah  Rayuan Syariah Kuala Lumpur bagi melucutkan peguam yang mewakili Jabatan  Hal Ehwal Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam samannya terhadap  jabatan itu.
Selain Kamar Ainiah, Anwar diwakili oleh Dorina Abdullah, Dr Mohd Rafie Shafie dan Mohamad Burok.
Manakala pemohon diwakili oleh tiga peguam iaitu Roslizam Rahim, Abdul Halim Bahari dan Mohd Ridzuan Ramli.
Turut hadir Presiden PKR,, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail,  Pengarah Strategi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan puluhan penyokongnya. - Keadilandaily
No comments:
Post a Comment