My Add

Monday 30 January 2012

Buktikan Pas parasit akidah

KOTA BHARU, ISNIN, 30 Januari, 2012:  “Biarlah dia bercakap seorang-seorang, dia bukan ahli Pas, malah orang Pas pun tidak akan dengar cakap dia.”

Demikian kata Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ketika diminta mengulas kenyataan bekas Exco kerajaan Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali yang mendakwa pimpinan ‘Pas parasit akidah.’

Mohd. Amar berkata, walau apa pun yang disuarakan Hasan, ia tidak akan menjejaskan sokongan penyokong dan juga pandangan orang yang berada di luar parti itu terhadap Pas kerana Hasan tiada kaitan lagi dengan parti itu.

Beliau berkata, ahli Pas adalah golongan yang setia kepada parti dan tidak akan terpengaruh dengan dakwaan seorang individu yang sudah dipecat.

“Saya tidak boleh dan tidak mahu komen apa-apa sebab dia bukan orang Pas, lagi pun saya sendiri tak dengar ucapan beliau itu betul atau tidak dia kata begitu.

“Tetapi jika Hasan mendakwa mengenai parasit dalam Pas, beliau seharusnya membawa bukti dan bukan membuat tuduhan secara umum,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Laporan muka hadapan Mingguan Malaysia hari ini dengan tajuk utama ‘Pas parasit akidah’ melaporkan ucapan Hasan di Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam yang menyifatkan kepimpinan Pas sebagai parasit perosak akidah kerana tidak menyokong gerakan untuk menyelamatkan umat Islam daripada gejala murtad. 

No comments:

Post a Comment