My Add

Monday 30 January 2012

Tolak janji kosong pembangkang - PM

IPOH, ISNIN, 30 Januari, 2012: Rakyat diingatkan supaya tidak tertipu dengan pendekatan pembangkang yang hanya mampu menabur begitu banyak janji-janji kosong sebagai senjata politik walaupun ia tidak berpijak di bumi nyata.

Ketika membuat ingatakan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sudah tiba masanya rakyat menyedari bahawa pembangkang tidak mampu menjayakan agenda yang mereka bawa kerana tidak mempunyai visi jelas, sebaliknya hanya bergantung kepada janji-janji tidak realistik.

''Saya tidak fikir agenda yang dibawa pembangkang boleh dilaksanakan kerana terlalu banyak janji-janji yang sebenarnya tidak realistik, tidak berpijak di bumi nyata.

''Salah satu perkara yang kita perlu sedar, apabila mereka jadi pembangkang, senjata mereka ialah membuat janji tak kira ia boleh dilaksanakan atau tidak. Selagi boleh berjanji matahari, bulan, bintang dan galaksi.

''Bagi mereka ia (janji) lebih penting kerana itu sahaja senjata yang mereka ada. Sebagai pengundi, kita jangan tertipu dengan pendekatan politik sebegini," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA Perak di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk R. Ganesan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.

Perdana Menteri menegaskan, rakyat tidak memerlukan taburan janji semata-mata, sebaliknya mahukan sebuah kerajaan yang mempunyai matlamat yang jelas dan efisien bagi memastikan negara terus menikmati kemakmuran.

Dalam konteks itu, Najib berkata, Barisan Nasional (BN) bukan sahaja mempunyai visi yang jelas, tetapi berjaya menjadi sebuah kerajaan yang efektif dalam memenuhi harapan besar segenap lapisan rakyat di negara ini.

Sambil mengulangi tekad untuk memastikan Malaysia kekal maju pada tahun-tahun mendatang, Perdana Menteri mahu rakyat memberi kepercayaan dan keyakinan kepada BN untuk terus memimpin negara.

''Apa yang penting bagi kita ialah untuk merasa yakin kepada kerajaan yang dipimpin BN kerana kita mempunyai visi, bukan sahaja untuk masa hadapan tetapi kita adalah kerajaan efektif yang boleh mencapai cita-cita dan impian besar rakyat," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment