My Add

Monday 30 January 2012

Persilakan terus burukkan Pas - Harun Taib

KUALA TERENGGANU, ISNIN, 30 Januari, 2012: Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib (gambar) hari ini dengan sinis 'mempersilakan' bekas Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali untuk terus memburuk-burukkan parti itu kepada umum.

Beliau yang sebelum ini pernah cuba mempertahankan Hasan yang dilanda kemelut dalaman parti sebelum dipecat daripada Pas turut menjangkakan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu akan berterusan mengecam serta meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap parti tersebut.

"Kalau dia (Hasan) ada banyak modal (keburukan Pas) lagi yang dia nak dedah, kita persilakan. Kalau dia nak terus serang kita (Pas), silakan.

"Kita tak ada masalah sebab sudah biasa dengan perkara macam ini dan bersedia untuk menolak segala dakwaan buruk terhadap Pas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas kritikan Hasan semalam terhadap Pas yang secara lantang dan terbuka menyifatkan parti berkenaan sebagai parasit perosak akidah kerana tidak menyokong gerakan untuk menyelamatkan umat Islam daripada gejala murtad.

Hasan, dalam pidatonya pada program Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) peringkat negeri Pulau Pinang semalam turut mengecam kepimpinan Pas kerana sanggup melarang ahlinya menyertai program berkaitan akidah seperti Himpun.

Menurutnya, adalah tidak logik parti yang menyokong perjuangan Islam selama ini sanggup bertindak sedemikian.

Harun selanjutnya menjelaskan, Hasan boleh berkata apa sahaja yang beliau suka termasuk memburukkan Pas kepada umum kerana bekas Exco Kerajaan Selangor itu sudah tidak lagi menjadi ahli parti berkenaan.

"Biasalah orang kena pecat akan jadi macam itulah. Dia boleh kata apa saja sebab dia bukan lagi ahli Pas dan kita tak kisah, biarlah dia nak kata apa saja," ujarnya.

Kepada satu soalan, Harun turut menolak dakwaan Hasan bahawa Pas melarang ahlinya menghadiri program Himpun, sebaliknya menjelaskan, adalah terpulang kepada ahli parti itu sama ada ingin menyertainya atau tidak.

"Seperti yang pernah kita nyatakan sebelum ini, kita tak larang ataupun galakkan mereka (ahli) untuk turut sertai Himpun, terserah kepada mereka," tambahnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment