My Add

Monday 30 January 2012

i-City diurus seperti pusat beli-belah

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Januari, 2012: Mengelak daripada persaingan tidak sihat antara peniaga adalah antara pendekatan yang digunakan oleh i-City di Shah Alam dalam menguruskan kawasan pelancongan tersebut.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, i-City memberitahu, kawasan tersebut diuruskan umpama sebuah pusat beli-belah yang besar yang mempunyai pelbagai penyewa.

Ia bertujuan memastikan pengunjung mempunyai pelbagai pilihan untuk membeli-belah dan dalam masa yang sama, peruncit tidak bersaing sesama sendiri.

"Semua peniaga mempunyai lesen yang sah dan kewujudan peniaga tidak berlesen akan menjejaskan operasi peniaga yang berniaga secara sah.

"Dari perspektif i-City, matlamat kami adalah untuk mencipta persekitaran yang berorientasikan keluarga dan bukannya persekitaran seperti bazar," kata kenyataan itu.

Jumaat lalu, kira-kira 30 peniaga berhimpun bagi membantah tindakan pengurusan i-City yang mengambil tindakan terhadap mereka kerana berniaga di kawasan tersebut.

Selain itu, i-City memberitahu, kawasan tersebut adalah tanah persendirian yang sudah diluluskan sebagai satu komuniti berpagar dan berkawal.

"Jangan hanya kerana tiada pagar atau tembok pemisah dibina, orang ramai beranggapan ia adalah tanah awam yang boleh dimasuki secara sesuka hati," kata kenyataan itu lagi.

Kata kenyataan itu, tindakan terhadap peniaga itu diambil bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengunjung dan bagi mengelak daripada berlakunya aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang di kawasan itu.

Komuniti i-City hari ini terdiri daripada kakitangan 100 buah syarikat teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan dikunjungi lebih 400,000 pelawat setiap bulan. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment