KLUANG, ISNIN, 30 Januari, 2012Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu kedua-dua rakyat Malaysia yang sedang ditahan tanpa bicara di pusat tahanan tentera Amerika Syarikat di Teluk Guantanamo dihadapkan di Tribunal Tentera secepat mungkin.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penahanan berterusan kedua-dua rakyat Malaysia tanpa bicara itu menunjukkan negara Barat terbabit “cakap tak serupa bikin” di dalam hal hak asasi manusia.
"Kita berharap mereka akan dihadapkan (ke Tribunal Tentera) secepat mungkin kerana kita sering dituduh tidak bebas, sistem kehakiman kita tidak bebas, tetapi saya ingin ingatkan bahawa kita mempunyai dua rakyat yang ditahan tanpa bicara sejak beberapa tahun,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan rumah mampu milik kepada 56 mangsa banjir oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Gajah di sini.
Menurut Hishammuddin, apa yang dilakukan oleh negara Barat terbabit di dalam menahan rakyat Malaysia tanpa bicara itu, tidak sama dengan apa yang dilaungkan mereka tentang hak asasi.
"Kita sering dituduh sebagai tidak adil,” katanya.
Baru-baru ini akhbar tempatan melaporkan tentang kemungkinan dua rakyat Malaysia yang kini berada di Guantanamo Bay, Mohd Farik Amin dan Mohd Nazir Lep, akan dihadapkan ke Tribunal Tentera tidak lama lagi selepas ditahan di pusat tahanan itu sejak 2006. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment