My Add

Monday 30 January 2012

Jangan cuba bermain api - JHEAT

Oleh Radhuan Hussain

KUALA TERENGGANU, ISNIN, 30 Januari, 2012: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba 'bermain api' dengan memurtadkan orang Melayu di negeri ini.

Pesuruhjayanya, Mohd. Rozali Salleh berkata, mereka terbabit bakal dihadapkan ke muka pengadilan dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau setahun penjara.

Beliau memberitahu, tindakan itu selaras dengan penguatkuasaan di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam yang sedia ada dan diguna pakai di negeri ini.

"Jangan cuba bermain api dan jangan sekali-kali cuba memurtadkan orang Melayu beragama Islam di negeri ini dan jika ada, tindakan tegas akan diambil di bawah enakmen ini (Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam).

"Enakmen ini memang kita dah lama guna pakai tapi memandangkan tiada kes yang jelas, maka ia (enakmen) dilihat seolah-olah tidak wujud.

"Jadi, enakmen ini akan dikuat kuasakan dan kita tak akan biarkan gejala ini (murtad) berlaku di negeri ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai Jawatankuasa Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah yang diumumkan penubuhannya Khamis lalu bagi memantau lebih rapi pengembangan agama bukan Islam kepada Orang Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jawatankuasa yang diletakkan di bawah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) itu turut memantau pengembangan ajaran salah antara sesama umat Islam.

Malah, Jamil Khir turut meminta Jabatan Agama Islam negeri yang masih belum mewujudkan dan menguatkuasakan enakmen itu agar segera melakukannya.

Mohd. Rozali menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Pengkuatkuasaan Undang-Undang Syariah itu sambil menyifatkannya langkah positif ke arah mewujudkan keharmonian, khususnya di kalangan umat Islam di negara ini.

Beliau turut memberi jaminan pihaknya akan menguatkuasakan sepenuhnya enakmen berkenaan di Terengganu sekiranya wujud aktiviti atau perlakuan pihak tertentu yang cuba memurtadkan orang Melayu di negeri ini.

"Berdasarkan Perlembagaan Malaysia sudah jelas, sesiapa saja wajib menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara.

"Tidak boleh sama sekali ada pihak yang cuba berdakwah atau mengajak orang Islam menganut agama mereka (selain Islam)," ujarnya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment