KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Januari, 2012: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menyifatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sudah tidak relevan dalam politik negara.
Ibrahim mendakwa rakyat negara ini juga sudah letih dengan segala permainan politik Anwar dan yang terbaru mengenai komitmennya untuk mempertahankan Israel ketika ditemu ramah oleh akhbar Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini.
"Saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia supaya lupakan Anwar, sudah sampai masanya untuk kita lupakan Anwar dan kita perlu mengorak langkah ke hadapan demi masa depan kita. Golongan media juga tak payahlah nak excited (teruja) dengan dia ni.
"Saya sebagai kawan Anwar sudah menganggap yang ”politically” Anwar sudah mati, Anwar sudah tidak relevan kerana banyak sebab,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Perkasa di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini hari ini.
Ibrahim berkata, kenyataan Anwar mengenai Israel itu jelas menunjukkan bahawa pendirian Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah sama dengan dasar Amerika Syarikat. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment